LALU AKU HIDUP SEBAGAI APA? - 1
Prof. Dr. HAMKA atau nama sebenarnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah (1908-1981) adalah ulama, sasterawan, budayawan, pemikir, ahli politik, pemimpin gerakan Islam, pemimpin masyarakat dan pelbagai lagi gelar rasmi dan tidak rasmi yang diberikan kepada beliau. Meskipun gelar-gelar itu banyak, beliau sendiri mengakui bahawa lebih senang jika dirinya dikenali sebagai seorang pengarang. Secara keseluruhan, setakat yang dapat dikesan dan direkodkan sepanjang hidup HAMKA, karya karangan beliau yang diterbitkan berjumlah 103 judul. Kategori penulisan beliau boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti autobiografi, biografi, falsafah dan keilmuan Islam, adat dan kemasyarakatan, kisah perjalanan (travelog), novel dan roman, sejarah umum dan sejarah Islam, terjemahan dan pastilah karya teragungnya iaitu tafsir al-Quran lengkap 30 juzuk.

Daripada jumlah 103 buah buku yang diterbitan dalam pelbagai versi kini, dan ada juga yang tidak lagi dapat dijumpai sekalipun di Indonesia sendiri pada hari ini, diyakini masih banyak lagi tulisan-tulisan HAMKA yang tidak dapat dijejak malah tidak sempat dibukukan sebagaimana tulisan-tulisan yang sempat diterbitkan di atas. Kebanyakan daripada buku-buku yang diterbitkan adalah himpunan daripada tulisan-tulisan HAMKA dalam pelbagai majalah, kebanyakannya pula adalah majalah yang dikelola oleh beliau sendiri sebagai pengarang sekali gus pengurus antaranya majalah Pedoman Masyarakat (19361942) atau majalah-majalah yang dibantu oleh beliau seperti Seruan Islam, Nibras, Bintang Islam, Suara Muhammadiyah, Pelita Andalas, Pembela Islam dan beberapa lagi.

Sebelum menjadi hoofdreadacteur atau kepala (ketua) pengarang majalah Pedoman Masyarakat, terlebih dahulu HAMKA beberapa kali mencuba nasib memimpin majalahnya sendiri namun sering gagal. Bermula dengan majalah Khatibul Ummah (1925) yang hanya bertahan sebanyak tiga keluaran, seterusnya majalah Kemauan Zaman (1929) hanya terbit sebanyak lima keluaran, kemudian majalah Al-Mahdi (1939) hanya bertahan sebanyak sembilan keluaran. Punca majalah-majalah tersebut tidak bertahan lama diperakui sendiri oleh HAMKA kerana: 1) Isu modal perniagaan, 2) Langganan majalah yang tidak dibayar dan, 3) Pentadbiran yang tidak sempurna.

HAMKA mula diberi kepercayaan bagi memimpin Pedoman Masyarakat ketika berumur hanya 28 tahun bergajikan F17.50 (rupiah) sebulan, dua tahun kemudian iaitu ketika beliau berusia 30 tahun (1938) lahirlah dua buah karya fenomenal beliau, katanya: Mula memimpin majalah itu pada tahun 1936, usia saya baru 28 tahun. Dalam usia 30 tahun, iaitu tahun 1938, dikarangnya Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dari segi roman dan Tasawuf Moden dari segi falsafah agama. Majalah terhenti penerbitannya kerana tentera Jepun telah menyerbu pada Mac 1942, iaitu dalam usianya 34 tahun.

Tidak terhenti di situ, penjajahan Jepun tidak mematahkan semangat memberinya melalui penulisan. HAMKA cuba bangkit pada zaman penjajahan Jepun dengan menerbitkan lagi sebuah majalah bernama Semangat Islam namun ia tidak mampu menyaingi dan mengganti tempat Pedoman Masyarakat di hati para pembaca-pencinta semangat islah dalam beragama, kata HAMKA: Di zaman Jepun, diusahakan juga menerbitkan majalah Semangat Islam yang mesti diisi propaganda perang Asia Timur Raya. Namun ia tidak dapat mengambil tempat Pedoman Masyarakat dalam hati pembacanya di seluruh tanahair pada waktu itu. Saya tidak dapat melupakannya. Dengan dialah saya dapat mengembangkan peribadi dalam dunia karang mengarang.

Selepas Jepun kalah, HAMKA kembali memimpin majalah. Kali ini dengan nama Mimbar Agama (1950-1953), pada kemuncaknya beliau memimpin majalah yang dinamakan Panji Masyarakat (1959-1981) sehingga ke akhir hayat beliau. Boleh dirumuskan bahawa sepanjang tahun 1925 (Khatibul Ummah) - 1981 (Panji Masyarakat) iaitu selama 56 tahun bergelumang dalam penulisan dan penerbitan majalah dan buku, HAMKA meninggalkan jejak-jejak sejarah diri, agama, bangsa dan negara Nusantara dalam setiap tulisannya yang jika dikaji maka ia layak diangkat sebagai satu urutan sejarah daripada perspektif beliau sendiri. Demikianlah mengapa akhbar dan majalah juga merupakan sumber rakaman sejarah yang penting malah diberikan perhatian khas sebagai satu bidang ilmu sumber pensejarahan.

Selain daripada tulisan-tulisan yang diterbitkan oleh majalah-majalah yang disebut di atas, HAMKA turut menyumbang tulisan beliau dalam majalah-majalah di Tanah Melayu seperti majalah Pengasuh dan majalah Qalam.

Sehingga kini, semakin banyak kajian-kajian dan tulisan ilmiah sama ada di peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah serta himpunan kertas-kertas kerja seminar, simposium dan mengangkat HAMKA dan karya-karyanya sebagai subjek kajian. Kajian tersebut pula meluas dalam pelbagai bidang dan disiplin keilmuan sama ada di Nusantara atau di Barat. Selain daripada itu, penerbitan bersifat umum dan separa ilmiah juga semakin banyak termasuk novel-novel yang cuba mengangkat HAMKA dan kehidupannya sebagai watak dalam novel berdasarkan kisah benar tersebut.

Menariknya juga, HAMKA menulis biografi ayahnya berjudul Ayahku: Riwayat Hidup Dr. H. Abdul Karim Amrullah dan Perjuangan Kaum Agama di Sumatera manakala dua anaknya menulis tentang dirinya. H. Rusydi Hamka menulis HAMKA: Pujangga Islam Kebanggaan Rumpun Melayu Menatap Peribadi dan Martabatnya manakala Irfan HAMKA menulis biografi berjudul Ayah Kisah Masa Muda, Dewasa, Menjadi Ulama, Sastrawan, Politisi, Kepala Rumah Tangga, Sampai Ajal Menjemputnya.

Sebagai Seorang Pemidato & Penulis

Pada bulan tahun 1925, perkumpulan tabligh Muhammadiyah dibina di Padang Panjang yang dianggotai oleh pelajar-pelajar Thawalib Muhammadiyah yang berasal dari Sungai Batang Tanjungsani, Maninjau selepas cabang Muhammadiyah dibina di sana pada bulan Jun tahun yang sama. Antara aktivitinya adalah mengadakan latihan pidato di tingkat bawah gedung ayah HAMKA di Gatangan Padang Panjang. Ramai daripada anak-anak muda Muhammadiyah mula berpidato di depan khalayak termasuk HAMKA sendiri. Pidato umum itu dilangsungkan sebelum ayah HAMKA memulakan sesi pengajiannya.

Kemudian timbul idea bagi menerbitkan semula pidatopidato yang terpilih sebagai majalah dengan sirkulasi sekali sebulan. HAMKA kemudian dilantik bagi menjadi orang yang bertanggungjawab terhadap penerbitan majalah tersebut yang diberi nama Khatibul Ummah yang bermaksud tukang pidato umat oleh ayahnya sendiri. Ironinya pelantikan beliau bukanlah kerana bakat dan kebolehan yang dibuktikan sebelumnya namun kerana benci. Menurut HAMKA: Kawan kita (merujuk kepada HAMKA penulis) diangkat menjadi Hoofdredacteur, atau kepala pengarang! Katanya lagi: Setelah kawannya mengusulkan nama bukan kerana senang, melainkan kerana benci! Keahliannya berpidato sudah mulai menarik hati pendengar itu, dalam usia belasan tahun, bagi setengahnya menimbulkan dengki dan cemuh. Sebab itu dia diusulkan jadi Hoofdredacteur itupun dalam rangka cemuh itu juga. Angkatan itu diterimanya. Majalah itu diberi nama oleh ayahnya sendiri Khatibul Ummah (Tukang Pidato Umat).

HAMKA ditugaskan mencatat pidato-pidato para pemidato dengan cermat manakala mana-mana pemidato yang tidak pandai mengarang, beliau akan menuliskan pidato untuk mereka dengan meletakkan nama pemidato itu sebagai penulis teks pidato itu, dalam masa yang sama mana-mana pembenci dan pencemuhnya tidak beliau pedulikan. Khatibul Ummah tidak dapat bertahan lama melainkan hanya sempat diterbitkan dalam tiga keluaran sahaja. Menurut HAMKA: Khatibul Ummah hanya menghasilkan tiga keluaran. Majalah ini, yang dicetak hanya 500 sekali terbit tidak diteruskan. Kerana perbelanjaan tidak sepadan dengan perhatian; penyakit majalah di zaman itu. Banyak yang suka membaca, tetapi tidak banyak yang suka membayar, namun baginya ini kali pertama dan permulaan pengalaman di dalam penerbitan majalah.

Pada tahun 1927 juga ketika umur HAMKA 19 tahun, beliau mengambil keputusan yang besar dalam hidupnya iaitu berpergian ke Makkah. Pulang dari sana pada tahun 1928, HAMKA tidak lagi berpaling daripada jalan yang diambilnya melainkan terus memimpin pertubuhan dakwah, berpidato, bertabligh, berdakwah melalui lisan dan penulisan. Pengalaman sehingga tahun 1925-1931 sebagai Hoofdredacteur beberapa majalah, pengarang beberapa buah buku roman dan falsafah agama serta diangkat menjadi Mubaligh Pengurus Besar Muhammadiyah di Makasar dengan sebelumnya menjadi ketua cabang sekaligus pemimpin Tabligh School di Padang Panjang menyedarkan dirinya serta menancapkan keyakinan bahawa dirinya memang sesuai dan mencintai apa yang dilakukannya itu.

Menurut HAMKA: Dengan berhasilnya dia memimpin Khatibul Ummah tahun 1925, dengan terbitnya Kemauan Zaman beberapa keluaran, dengan membantu harian Pelita Andalas di Medan. Ketika ke Mekah, apatah lagi dengan laris lakunya buku Si Sabariyah teman kita telah tahu apa kewajipannya dalam hidup. Kewajipan hidup atau mission ialah menjadi penyebar Islam, menjadi mubaligh Islam menyedarkan kaum Muslimin Indonesia terhadap Islam. Untuk melaksanakan kewajipan itu dia merasa bahawa dia mempunyai dua kesanggupan. Kesanggupan lisan dan kesanggupan tulisan! Dengan lisan dia akan berpidato, bertabligh, mengajar dan mengaji. Kemudian katanya: Di samping itu mengarang. Dia mulai ternama.

Kemuncaknya, HAMKA dalam menterjemahkan apa yang pernah dilaluinya itu berkata: Kalau ramai kawannya terhenti kegiatan kerana berkahwin, sehingga ada pepatah pelajar di surau-surau; al-ilmun marbuthun baina fakhidzaiha (Ilmu bergantung di antara kedua-dua belah paha perempuan), maka bagi teman kita ini dia, telah memulai kegiatan hidup sesudah dia berkahwin. Dia mulai melangkah, menurut pantun Minangkabau; Putus tali layang-layang; robek kertas tentang bingkai. Hidup nan jangan mengepalang; tidak kaya, berani pakai.

Sepanjang hidup almarhum Prof Dr HAMKA selama 73 tahun (1908-1971) merupakan sebuah rakaman perjalanan multidimensi kehidupan seorang individu sebagai ulama, pengarang, ahli politik, ahli masyarakat, wartawan, pemikir, pemimpin, pendakwah, bangsawan dan lain-lain yang penuh dengan ibrah kepada masyarakat masa kini. Beliau adalah contoh terbaik dalam konteks muslim di Nusantara bagi mereka yang ingin berjuang dan menegakkan kebenaran lantas setia dengannya bersumbukan ruh al-Quran dan asSunnah.

Khazanah ilmu dan pemikiran yang ditinggalkan oleh Buya HAMKA melalui penulisan-penulisan beliau benar-benar membantu mereka yang inginkan kefahaman dan keluasan pemikiran dalam agama Islam malah ia mengajarkan pembacanya jauh daripada gejala ketaksuban, jumud dan ghuluw, ini adalah kerana karya-karya Buya HAMKA menyebabkan ummah khususnya mereka yang boleh berbahasa Melayu menjadi cerdik dalam beragama dan setia dengan kebenaran.