Di mana harus kucari tika jiwa berkerau
Menulis satu persatu kalimah
yang aku sendiri tidak pasti
Menyongsangkan cerita-cerita
yang kukarangi.
Ilhamku,
Mengapa suara yang lembut membelasut
Tangan yang membelai membesit kencang
Yang tetal jadi berongga
Yang bersatu bersarak berterbangan
Dan yang berkecindan menyerangsang
Ilhamku,
Hadirlah mengisih kata
Menenang geletik rasa
Membuntangkan akal yang menampik
Agar kisah yang kukarangkan
tidak lagi merunggas sukma
Setagal kumenggenggam pena
Dewan Siswa
-----
SAJAK SEBAGAI CETUSAN RASA
Sayidah Muizzah Kamarul Shukri menulis sajak Ilhamku.
Sajak ini memuatkan beberapa patah perkataan yang asing
daripada penggunaan hari-hari. Perhatikan kata-kata berkerau,
membelasut, membesit, tetal, bersarak, dan beberapa lagi.
Sayidah mungkin berhasrat menggesa pembaca mencari makna
kata-kata itu di dalam kamus.
Makna sajak Ilhamku tidak dapat dikesan dengan cepat.
Namun, kita tahu bahawa Sayidah berkisah, dan kisah itu
bermaksud melegakan perasaannya. Ilhamku ialah cetusan yang
dikaburkan oleh kata-kata yang memerlukan tatapan kamus.
Profesor Rahman Shaari