Benda yang di dalam matanya itu amat mengganggu sekali. Sekali lagi, jari-jarinya menggosok kedua-dua belah matanya. Benda itu tidak juga mahu keluar. Tibatiba senapang kuno yang tertegak di sisi kanannya jatuh ke tanah. Dia segera bangun. Tindakan spontan itu menyebabkan kepalanya terhantuk ke bumbung. Tanah pasir bumbung itu runtuh mengenai mukanya. Dia kesal kerana terlupa bahawa bumbung itu tingginya hanya kirakira satu meter dari katil buluh tempat dia berbaring sejak tadi. Terowong sempit yang di dalamnya dibina kabin itu, bukan sahaja berbumbungkan tanah malah dinding dan lantainya juga terbina daripada tanah. Apalagi tanah tumpah darah yang bukan lagi bumi yang dahulunya dipanggil tanah air. Sayang, tanah air itu hanyalah di antara kerak bumi dan permukaannya yang gersang.
Dicapainya senapang yang jatuh itu bagaikan seorang tentera yang gagah. Senapang automatik AK-47 berlaras satu itu adalah kawan setianya sejak enam bulan dia menjalani latihan ketenteraan. Latihan sudah sampai ke peringkat akhir tetapi kegiatan ketenteraannya telah tergendala selama dua hari. Dua hari pula, dia tidak melihat cahaya matahari. Dua hari juga dia menghidu udara lembab di ruang tertutup itu. Hanya melalui paippaip sebesar batang pinang, udara segar berusaha keras untuk masuk dari permukaan bumi ke dalam pondok itu. Nyawanya dan nyawa beratus-ratus pejuang bergantung harap pada paip-paip udara itu. Mereka bukan sahaja terancam oleh musuh yang bersenjata mutakhir tetapi juga ancaman bahaya tertimbusnya paip-paip saluran udara itu. Lubang-lubang paip itu seolah-olah penyambung lubang hidung mereka yang dipanjangkan ke permukaan bumi. Semak-samun dan rumpunan pohon rendah hutan tropika yang melindungi tempat persembunyian itu, seakan-akan bulu-bulu hidung yang menyaring debu dari udara.
Mata Azizi sudah tidak berasa sakit lagi. Pasir yang tadinya menggores-gores mata kirinya sudah tiada. Barangkali telah keluar bersama air mata dari kalenjar di sudut matanya. Biarpun dalam kegelapan dan kekaburan penglihatannya, dia masih dapat melihat lampu merah dalam terowong yang menghubungkan beratus-ratus ruang bawah tanah yang dijadikan kabin para perajurit. Selagi lampu merah itu hidup menyala, selagi itulah para perajurit harus berada di tempatnya. Azizi tidak tahu lagi tentang masa tetapi hanya dapat mengagak sudah dua hari dia dan rakan-rakannya bersembunyi di kubu mereka. Walaupun ada jam tangan di pergelangan tangannya tetapi jam itu tidak berfungsi tanpa sinar cahaya. Jam solar itu kini layak dijadikan bahan pameran di Arkib Sains Negara. Teknologi kurun ke-20 yang sudah lapuk masih menemani pejuang kebebasan abad kini.
Setelah jam itu tidak dapat digunakan lagi, Azizi mengukur masa dengan menghitung. Dia berbuat demikian agar dia tidak hilang dalam kegelapan. Tetapi kemudiannya hitungan itu mati di tengah jalan setelah lima jam dia mencuba. Sejak itu Azizi tidak sahaja buta kerana kegelapan tetapi juga buta masa. Penantiannya agar berakhirnya masa persembunyiannya sungguh mencabar. Ketabahan jiwanya diuji oleh penantian yang tiada berpenghujung. Setiap perajurit harus cekal menghadapi sebarang suasana. Kegetiran dan kepahitan ini ditelan dengan semangat yang membara. Ketika fikirannya merayau tanpa haluan, Azizi tersentak oleh jeritan yang datang dari kabin di sebelahnya.
Dia meluru melalui terowong dengan sedikit membongkok. Dia menggalas sahabat karibnya. Azizi mendapatkan Zaki yang masih menjerit dan meronta-ronta. Kedua-dua tangan Azizi merentap-rentap kemeja seragam celoreng hijaunya seakan-akan mahu membuka dadanya, mendedahkan paru-parunya pada udara luar agar kesesakan itu berakhir.
Zaki, mengucap Zaki....Sebutlah nama Allah dan junjungan kita, nescaya berjaya. Pujukan itu tidak sedikit pun masuk ke dalam fikiran yang sudah kusut lagi histeris itu. Zaki terus meronta dan mengerang berpanjangan. Dia seolah-olah tidak mengenali Azizi, rakan seplatun yang paling rapat dengannya. Pernafasannya kencang. Lebih kencang daripada pelari yang baru habis memecut. Jarijarinya tergenggam kaku. Kedua-dua ibu jarinya tersepit di antara jari telunjuk dengan jari hantu.
Bersabarlah Zaki. Semuanya akan berakhir. Azizi menenteramkan Zaki sambil cuba membuka telapak tangan dan jari-jarinya mengalami kekakuan itu. Keduadua belah mata Zaki bergulung-gulung ke atas seperti orang dirasuk syaitan.
Tolong! jerit Azizi. Dia menjadi serba salah sama ada meninggalkan Zaki keluar pergi mencari bantuan atau hanya tinggal melaung sekuat hati meminta pertolongan. Dia tahu berbuat bising semasa persembunyian adalah perkara yang terlarang. Tetapi dia tidak sampai hati membiarkan rakannya terbiar tanpa pertolongan.
Bunyi bising, meskipun suara perbualan mereka itu tidak kuat, namun ia boleh memberi kesempatan kepada musuh. Kemampuan musuh begitu tinggi. Radar ultrasonik mereka dapat menembusi tebalnya hutan belantara dan dapat merakam berbagai-bagai bunyi yang terdapat di permukaan bumi. Pesawat AGA mereka dapat mengesan punca bunyi dan mengadakan analisis segera sama ada bunyi itu daripada haiwan atau manusia. Malah radar terbaharu musuh dapat merakam denyut jantung manusia berkilometer-kilometer jauhnya di permukaan bumi. Apabila manusia dapat dikesan, pesawat pengebom akan menyusul dan menaburkan bom pada sasaran yang telah dikesan oleh radar.
Koperal Ahmad tercegat di pintu kabin. Dia kelihatannya marah. Tetapi apabila dia melihat keadaan kekejangan dan sesak nafas yang dialami oleh Zaki, wajah marahnya segera bertukar.
Kenapa dia, perajurit tanya Koperal Ahmad dengan nada suara ketenteraannya yang lazim.
Dia tidak boleh bernafas, tangannya kejang encik, jawab Azizi segera.
Jaga dia. Saya pergi panggil Kapten Sal. Koperal Ahmad beredar dari pintu kabin itu dan menghilang dalam terowong.
Seorang perwira bertubuh gempal memasuki kabin itu. Pada lengan bajunya tertera lambang bulan sabit di bawah lambang sepasang keris bersilang. Tenunan benang putih bertulisan Korps Perubatan mengikuti lengkungan bulan sabit yang berwarna merah darah. Di atas lantai tanah itu, dia meletakkan beg hitam yang berbecak dengan lumpur kering. Azizi pantas memberi tabik sebaik sahaja melihat Kapten Dr Sallehuddin. Tabiknya itu tidaklah sempurna kerana kabin begitu sempit. Kapten Sal, begitulah panggilannya, tidak peduli dengan kekurangan di situ. Dia memaklumi keadaan gawat yang menyerang perajurit Zaki.
Kapten Sal mengambil stetoskop dan lampu suluh daripada beg hitam itu. Diberikan lampu suluh itu kepada Azizi dan disuruhnya pegang. Dia begitu tenang sekali. Kapten Sal memanggil-manggil nama Zaki. Namun Zaki tidak bereaksi dengan rangsangan itu. Dia memeriksa dada Zaki seadanya seperti hanya memenuhi syarat sahaja. Bungkusan plastik yang berisi berbagai-bagai ubat diambil dari dalam beg itu. Dituangkan sahaja kandungan bungkusan plastik ke dalam beg. Mulut bungkusan plastik yang telah dikosongkan itu dicekupkan ke mulut dan hidung Zaki.
Perajurit Zaki! panggil Kapten Sal, Bernafas melalui plastik ini. Demikian arahnya sambil menyuruh Azizi memegang belakang tengkuk Zaki agar dia menghirup udara daripada bungkusan plastik itu. Bungkusan plastik itu kembung dan kempis. Harapan Kapten Sal supaya Zaki bernafas dengan gas karbon dioksida yang dikeluarkan oleh paru-parunya sendiri. Bagi Kapten Sal, Zaki lebih memerlukan karbon dioksida daripada oksigen. Kerana pernafasan yang begitu cepat, Zaki membuang semua karbon dioksida sehingga tidak terjadi pengaturan pernafasan yang normal.
Bernafas perlahan-lahan, nasihat Kapten Sal sambil menyiapkan suntikan kalsium glukonat. Jarum itu ditusuk ke dalam pembuluh darah vena di bahagian depan siku. Belum sampai 10 mililiter cecair itu habis, kelihatan kekejangan otot-otot tangan Zaki mereda. Kaku tengkuk itu ditewaskan dengan satu suntikan tunggal sahaja.
Kadar pernafasan Zaki kembali normal. Tidak lagi kencang. Mujarabnya rawatan Kapten Sal membuat Azizi sedikit kagum. Bagaimana bungkusan plastik kosong itu dapat mengusir kekuatan syaitan yang telah merasuk badan Zaki.
Terdorong oleh kekaguman itu, Azizi lalu bertanya dengan teragak-agak.
Apakah penyakit Zaki, kapten
Berpunca daripada fikiran yang cemas dan konflik jiwa yang tidak dapat dibendung. Ia dikenali sebagai sindrom hiperventilasi, kata Kapten Sal. Dia menganggap serangan itu adalah suatu trauma yang memakan jiwa.
Bukan kerana dirasuk syaitan, kapten tanya Azizi lagi.
Tidak, jawab Kapten Sal pendek tersenyum sedikit. Dia mencapai lampu suluh dari tangan Azizi. Wajah-wajah mereka bertukar oleh kegelapan yang merata setelah lampu suluh itu dimatikan. Stetoskop dan lampu suluh itu dimasukkan ke dalam beg hitam tadi.
Kenapa Kau berminat nak masuk Korps Perubatan tanya Kapten Sal.
Azizi tidak menjawab. Tidak pula menggelengkan kepalanya.
Kau jaga dia. Beri dia sedikit makanan dan air, kata Kapten Sal setelah melihat tiada reaksi daripada Azizi. Dia sedia maklum bahawa semua perajurit yang ada di situ ingin menjadi pejuang. Tidak mahu menjadi anak buahnya yang terpaksa mengusung mereka yang cedera di tengahtengah medan perang. Tanpa senjata di pinggang, apa gunanya jadi pejuang negara.
Baik, tuan, jawab Azizi.
Kapten Sal menghampiri Zaki yang tidak lagi bernafas melalui bungkusan plastik itu. Tiba-tiba lampu merah itu padam, diganti dengan cahaya lampu neon yang biasa menerangi kabin-kabin dan terowong-terowong itu. Padamnya lampu merah itu disambut dengan sorakan penghuni-penghuni kabin, merayakan berakhirnya masa persembunyian yang telah berlangsung lebih daripada 48 jam. Zaki kelihatan agak malu, dan berpaling pada dinding tanah yang menggerutu, barangkali menyedari keresahannya tadi membahayakan rakan-rakan seperjuangan. Dia tidak dapat mengingati apa yang telah terjadi kepada dirinya, tetapi kehadiran Kapten Sal di sisinya, pasti ada sesuatu yang buruk telah berlaku. Ada air mata membasahi pipinya, dan merah matanya pasti bukan kerana termasuk pasir seperti yang dialami oleh Azizi.
Apakah yang sebenarnya menganggu fikiranmu tanya Kapten Sal.
Saya teringat bapa saya yang dianggap oleh MIA, jawab Zaki dalam esakannya. Dia menyambung, Dalam kegelapan saya ternampak bagaimana bapa saya diseksa oleh agen-agen MIA. Paman saya juga ditangkap terlebih dahulu daripada bapa saya. Apabila paman saya dibebaskan, dia tidak dapat bercakap lagi, lidahnya dipotong, belakangnya dibakar dengan seterika. Saya terbayang penyeksaan yang serupa dilakukan terhadap bapa saya.
Kenapa bapa dan paman awak ditangkap MIA tanya Kapten Sal lagi. Kening dan dahi Azizi pula berkerut tanda bersimpati terhadap penderitaan Zaki.
Mereka dituduh menjadi perisik untuk TENAMA, jawab Zaki.
Sekarang bapa awak sudah dibebaskan
Saya tidak tahu. Sebelum saya meninggalkan Keyel Lama, dia masih belum dibebaskan. Saya mengambil keputusan untuk berjuang menentang Tentera Republik. Saya khuatir keselamatan ibu dan adik-adik saya, katanya sedih. Kita sebagai pejuang nasional harus cekal. Betapapun besar tekanan yang kita hadapi sekarang, kita jangan mudah patah semangat. Musuh kita ingin melihat ini. Mereka merayakan kemenangan atas air mata kau itu ... Kesat matamu dan berdiri seperti perwira bangsa! Kapten Sal memulakan terapinya dengan kata-kata semangat seorang psikiatris. Dan dia mengakhirinya dengan suara yang lantang bagaikan seorang RSM.
Zaki bangun terkapa-kapa mencari Uzinya. Mereka tahu, di dalam kabin itu tidak mungkin seseorang berdiri tegak bagai seorang tentera di medan kawat, kecualilah kalau orang itu tinggi kurang daripada 1.5 meter. Dia hanya duduk di atas katil buluh itu sambil memberi tabik hormat kepada atasannya. Kapten Sal membalas sambil bertinggung. Kemudian dia keluar dari kabin, dan menghilang melalui terowong itu.
Bunyi siren kuat terdengar. Azizi memegang lengan bahagian atas Zaki membantunya untuk berdiri. Zaki menolak lembut bantuan Azizi itu. Dia mahu keluar dari kabin itu seperti seorang perajurit. Dan mereka tahu semboyan itu meminta semua para perajurit berkumpul di permukaan bumi. Azizi menggalas AK 47-nya dan Zaki keluar dari kabin itu bersama-sama Uzinya.
Terowong itu dipenuhi debu yang berterbangan daripada hentakan kaki-kaki perajurit itu. Mereka tempuhi terowong itu tanpa menutup hidung dan mulut. Mereka terlalu gembira kerana tempoh persembunyian mereka sudah berakhir. Mereka datang dari seluruh pelosok negara yang terjajah. Mereka datang dengan tekad yang bulat untuk membebaskan ibu pertiwi. Untuk berjuang mereka harus berilmu. Ilmu perang. Ilmu untuk menhancurkan dan memusnahkan musuh.
Azizi dan Zaki bersama platunnya berada di zon K26 dari kubanah Fraser. Mereka terpaksa melalui beberapa zon sebelum sampai di permukaan bumi. Terowong itu jauh lebih tinggi dan lebih lebar daripada kabin-kabin yang menempatkan askar-askar pejuang. Lubang-lubang keluar dari kubanah cukup banyak untuk menyalurkan hampir 1 000 penghuni kubu bawah tanah itu keluar. Lubanglubang itu ditutupi oleh rumput yang dapat melindungi penglihatan manusia. Tubuh-tubuh berseragam celoreng hijau mulai keluar melalui lubang-lubang itu. Dengan menggalas senjata mereka bergegas bergerak ke tanah lapang yang dipayungi daun-daun rendang pohon jati, merbau, cengal dan petai yang menjulang tinggi. Pokokpokok yang tinggi ini tumbuh kukuh di atas tanah yang telah diratakan. Hanya akar-akar pokok yang besar-besar sahaja yang menjadikan permukaan itu tidak rata.
Sebahagian daripada perajurit muda itu masih silau dengan sinar matahari yang menembusi celah-celah dahan yang tidak berdaun itu. Tangan-tangan mereka melindungi mata daripada silauan itu. Ada juga yang tidak berbuat demikian, hanya dengan mengecilkan kelopak mata. Barisan-barisan perajurit mulai terbentuk mengikut unit dan platun masing-masing. Gerakan pantas mereka melenyapkan segala penat lelah yang ditanggung selama 48 jam terakhir. Semangat yang berkobar dalam jiwa muda itu membakar kelesuan hingga lenyap, tiada berbekas. Ratusan tubuh terpacak, tersusun rapi dalam barisan perajurit yang hany cacat oleh permukaan tanah yang tidak rata dan di antara julangan pokok-pokok besar. Tidak ada sebatang tubuh pun yang mengambil kesempatan untuk bersandar pada teras pohon-pohon itu biarpun keletihan cukup menggoda.
Perajurit-perajurit itu berbaris di hadapan sebuah pentas kecil yang diperbuat daripada bahan-bahan kayu sebesar buluh tua, disusun rapi, diikat dengan tali. Rapi dan kemas. Begitu kukuh ikatan simpulnya, mampu menampung tiga atau empat orang yang bertubuh besar. Kedengaran laungan yang lantang daripada seorang RSM. Suara lantang itu amat lazim pada telinga perajurit-perajurit yang telah menamatkan latihan ketenteraan gerila selama enam bulan. Disambut serentak oleh bunyi kaki-kaki yang berkasut but itu bergerak rapat dengan diikuti pula bunyi hentakan kaki tunggal yang kuat. Senjata-senjata yang berbagai-bagai bentuk ditarik rapat pada kaki kanan masing-masing. Muka pejuang-pejuang muda itu memandang ke depan seolah-olah melihat kejauhan infiniti yang menembusi kehijauan belantara itu.
Seorang perajurit bertubuh tinggi dengan satu bintang berpaku di kedua-dua belah bahunya, melangkah naik pentas yang tidak bertangga itu. Dia berdiri di atas pentas itu sambil memerhati lautan topi perajurit-perajurit yang diselang-seli dengan hujung-hujung laras senapang. OC Mejar Jeneral Hanafiah dengan tongkat rejimen di tangannya yang tersilang di belakang punggungnya, memeriksa dengan gerakan mata, dari kiri ke kanan. Berbadan tegap, tinggi dan sasa. Dia mengenakan pakaian seragam yang kemas. Berbaris di belakangnya pula, ialah barisan pegawai tinggi yang lain dan pegawai madya yang bertanggungjawab melatih perajurit-perajurit pejuang.
Saudara-saudara perajurit, dalam masa dua atau tiha hari lagi saudara-saudara akan meninggalkan pusat ini. Saudara-saudara akan bergabung dengan unit-unit tempur di beberapa kubanah. Sebahagian kecil daripada anda akan dipilih menyertai Skuad Komando Kota. Hendaknya latihan yang saudara perolehi di sini digunakan sebaikbaiknya. Latihan yang anda dapati di sini rasanya cukup untuk dijadikan bekal untuk saudara-saudara menghadapi musuh bangsa bagi membebaskan tanah air kita. Kemahiran ketenteraan anda harus diperhalusi dari semasa ke semasa.
TENAMA memerlukan khidmat bakti anda. Tanpa pengorbanan ini, kegemilangan bangsa Melayu tidak mungkin dihidupkan lagi. Dalam setiap benak Melayu harus ada satu saja matlamat; iaitu membebaskan bumi ini daripada penjajah. Bangsa kita tidak sanggup berpecah lagi. Perpecahan antara bangsa kita pada masa lampau membuatkan bangsa kita sekarang mengalami azab dan sengsara. Kita terpaksa menjadikan hutan belantara ini sebagai kampung kita. Akibat perpecahan itu, kekuatan bangsa kita menjadi rapuh. Pemerintah Republik telah memisahkan sanak-saudara kita, membunuh anak-anak kita dan merampas hak kita yang sah.
Saudara-saudara, inilah tugas berat yang harus kita pikul bersama. Bumi ini harus kita bebaskan daripada penjajah. Hari pembebasan itu sudah hampir tiba. Sementara menanti hari itu, ketrampilan bersenjata harus dipertingkat. Saya juga ingin mengingatkan saudara bahawa dalam apa keadaan pun semboyan Espirit de Corp mesti dijunjung dan diamalkan. Rakan-rakan seperjuangan adalah saudara kandung dalam darah setiap perajurit.
Akhir sekali saya ingin mengingatkan tujuan asal kita yang satu...merdeka! Laungan merdeka itu disambut dengan gema yang bergemuruh.
Merdeka! jerit pejuang-pejuang itu sambil menjulang senjata ke udara.
Merdeka! balas OC.
Merdeka!
Merdeka!
Merdeka!
Merdeka!
Merdeka! Pekikan-pekikan itu benar-benar menggegarkan bumi. Tupai-tupai yang sejak tadi berdiam diri, bertempiaran lari melompat dari satu dahan ke dahan lain yang lebih tinggi, menyembunyikan diri. Kera-kera liar yang menumpang hidup di sekitar kawasan pusat latihan itu turut membalas dengan caranya yang lazim.
Akhir sekali para perajurit itu bertepuk tangan sebagai menghargai ucapan OC. RSM segera mengambil alih memimpin perhimpunan itu sebaik-baik sahaja OC turun dari pentas menuju ke belakang. Beberapa pegawai tinggi berjabat tangan dengan OC seolah-olah ucapan bersemangat itu baru pertama kali mereka mendengarnya. Mungkin mereka sudah lupa, bahawa setiap tahun lebih kurang itu jugalah bahan ucapannya. Selepas upacara tamat latihan mereka akan dihantar ke markas-markas TENAMA di sepanjang kawasan pergunungan dan tanah tinggi yang menjadi tulang belakang semenanjung itu. RSM naik pula ke pentas dan membacakan beberapa helai senarai. Dia mengumumkan nama-nama Ketua Unit dan Ketua Platun yang telah dilantik untuk membawa perajurit-perajurit muda itu ke markas masing-masing. Azizi dan Zaki memasang telinga. Seperti perajurit-perajurit lain, mereka mendengar dengan tekun. Zaki sedikit tersenyum apabila Leftenan Omar disebut sebagai Ketua Unitnya dan Sarjan Sujak sebagai Ketua Platun. Ada semacam kesyukuran dari air muka Zaki dan rakan-rakan seplatunnya apabila nama Sarjan Sujak disebut untuk platun T-4334. Dia pasti akan meneruskan latihannya dalam suasana sebenar.
Selepas nama-nama itu selesai dibaca, upacara penutup dilakukan seperti lazimnya. Lagu perjuangan dan lagu kebangsaan dinyanyikan dengan suara lantang dan bersemangat waja yang tidak kenal erti kalah. Apabila lagu kebangsaan Negaraku menutup upacara terakhir, beberapa orang perajurit tidak dapat menahan perasaan, menitiskan air mata sambil melihat bendera kebangsaan dinaikkan perlahan-lahan di tiang yang agak condong kerana keadaan tanah yang tidak rata di situ. Air mata itu adalah air mata yang berikrar sesuatu janji. Janji untuk membebaskan pertiwi.
RSM memberi isyarat bersurai setelah OC dan pegawaipegawainya kembali ke khemah mereka. Perajurit-perajurit yang bersurai itu kelihatan menuju ke pos masing-masing untuk menerima arahan lanjut. Bendera yang tadinya megah berkibar diturunkan. Diturunkan kerana sebabsebab keselamatan, kerana bendera itu dapat mengundang musuh menghampiri mereka. Warna merah berjalur-jalur dan warna kuning pada bulan sabit serta bintang adalah warna yang mudah dikenali dengan mata kasar apalagi sensor dari pesawat AGA musuh yang kerap mengintai.
Azizi dan Zaki sudah sampai ke pos unit mereka. Mereka terpaksa menanti Sarjan Sujak yang barangkali sedang mendengar taklimat lanjut di pejabat PUSLAT. Bilik gerakan PUSLAT tidaklah besar, hanya dapat menampung seratus orang dalam keadaan duduk berhimpit-himpit di atas bangku panjang yang diperbuat daripada buluh. Bilik gerakan itu berada di bawah tanah dan hanya pintu masuknya sahaja yang disaluti dengan ranting-ranting yang berdaun hijau untuk menyembunyikan binaan itu. Dua orang pengawal sentiasa mengawas pintu masuk itu. Hanya perajurit yang berpangkat saja yang boleh masuk tanpa surat kebenaran.
Azizi menyandarkan AK-47 nya di perdu pokok besar di antara dua cabang akar yang menonjol di permukaan tanah itu. Dia menarik topeng gas yang tergantung pada tali pinggangnya ke rusuk kiri, lalu duduk dengan keduadua belah didepangkan pada cabang akar pokok itu. Kaki kanannya lurus terlunjur dan kaki kirinya dilipat hampir membentuk sudut tepat. Dicabutnya rumput berbunga yang tumbuh melata di tepi akar pokok tempat dia bersandar itu. Tanpa disedari, dia menggigit-gigit batang rumput itu bersahaja. Matanya memerhati tukang masak unit yang sedang sibuk memasak. Asap dapur itu membawa serta habuk debu kayu yang terbakar, berterbangan di atas mulut periuk yang tidak bertutup. Zaki yang melihat Azizi santai di perdu itu, juga berbuat demikian. Dia memilih duduk di celah akar yang di sebelah Azizi. Kelihatan rakanrakan seunit mereka yang sudah tidak sabar menanti waktu makan. Maklumlah, selama dua hari dua malam, cuma tempeyek kering itu sahaja menjadi makanan yang dibasahi oleh air dari botol masing-masing. Bau gulai ikan talang kering yang dimasak dengan santan sintetik, tidak pula menimbulkan aroma tiruan yang ketara. Deria-deria yang menghidu itu tertipu sehingga tidak menduga bau itu tidak seasli yang pernah terakam dalam ingatan mereka.
Dari kejauhan, kelihatan anggota-anggota unit lain sudah berbaris mengambil makanan. Banyak mata tertumpu pada besi segi tiga yang tergantung pada alang dapur yang melampaui bumbung daun-daun kering. Menanti-nanti tukang masak unit membunyikan besi segi tiga itu, matamata itu telah letih menunggu. Ada yang membiarkan saja perut mereka berkeroncong. Mereka telah mendisiplinkan diri supaya dapat menahan nafsu. Nafsu apa pun bentuknya perlu dikendali, diatur penyalurannya. Nafsu untuk merdeka juga harus dikendali, seperti mereka mengendalikan nafsu lapar mereka. Terlalu bernafsu untuk merdeka sehingga banyak darah muda yang terdahulu daripada mereka gugur di tangan musuh. Hingga kini mereka hanya berjaya mengatur nafsu lapar.
Akhirnya, bunyi Pavlov yang ditunggu-tunggu itu spontan menggerakkan kaki-kaki askar muda itu menuju ke arah datangnya bunyi. Bekas-bekas aluminium ternganga kosong dalam barisannya yang terbentuk dengan sendirinya. Azizi dan Zaki bergerak perlahan-lahan. Biarpun barisan itu panjang namun tanpa disedari, mereka sudah sampai di meja makan. Mereka berbual tentang soal yang berkisar tentang anak-anak muda. Azizi bergurau cuba melenyapkan keresahan Zaki. Demikian penantian itu dihabiskan dengan senda gurau yang barangkali dapat meredakan kenangan pahit dalam ingatan Zaki. Keperihan hati Zaki lenyap buat sementara waktu. Nasi yang masih lembik itu dimasukkan ke dalam bekas aluminium Zaki. Bekas itu sedikit tergerak ke bawah kerana berat nasi itu. Wap panas daripada nasi itu terus menyerap ke muka. Warna putih nasi itu hilang apabila disirami gulai yang juga galak berasap. Zaki tidak mengendahkan sedikit atau banyaknya, berisi tidaknya ikan kering yang diberikan oleh pembantu tukang masak itu. Dia melihat ada sedikit terung panjang dan kentang yang tidak berkupas kulitnya dimasukkan ke dalam bekas aluminiumnya. Zaki menunggu Azizi yang sedang menerima gilirannya. AK-47 Azizi melorot dari bahunya. Dikembalikan ke bahunya. Mereka berdua balik ke perdu pokok. Untunglah tiada siapa yang mengambil alih tempat itu.
Nasi itu masih terlalu panas untuk dimakan. Azizi meniupniup hujung jarinya yang kepanasan apabila cubaan pertamanya gagal. Zaki tertawa-tawa. Dia terlupa akan peristiwa sesak nafas di kabinnya. Mereka sama-sama meniup nasi itu agar cepat sejuk. Asap nasi itu kemudian menghilang. Belum habis separuh nasi itu, Azizi melihat Sarjan Sujak menuju ke arah unit mereka. Dia bersama lapan ketua platun yang lain. Masing-masing kelihatan membawa lembaran-lembaran kertas. Barangkali peta atau daftar nama-nama anak buah mereka, fikir Azizi. Melihat dari kejauhan itu, Azizi mempercepat suapan makannya. Zaki mengikutinya. Mereka tahu masa makan akan segera berakhir apabila Sarjan Sujak sampai ke kem unit mereka. Nasi bergulai yang menyesak kerongkongnya segera disusuli dengan meneguk air dari botol airnya. Ada sebahagian air itu melimpah dari mulut Azizi. Disapu saja sisa-sisa makanan dan air di tepi mulutnya dengan lengan baju.
Sarjan Sujak menghampiri Azizi dan Zaki yang sudah sedia berdiri. Dia memandang kepada nombor tentera yang tersemat di saku mereka. Kedua-duanya bermula dengan T-4334. Nombor Azizi berakhir dengan 05 dan Zaki 06. Melihat nombor platun pada Azizi dan Zaki, dia bertanya. Mana kawan-kawan awak yang lain Ada encik! jawab Azizi.
Mana dia tanya Sarjan Sujak lagi.
Sedang makan, encik! balas Azizi.
Panggil mereka!
Baik, encik! jawab Azizi dengan suara lantang. Dia berpaling kepada sekumpulan askar yang duduk di sebatang pokok, tidak jauh daripadanya. Mereka sedang menghabiskan makan tengah hari tanpa menyedari Sarjan mereka sudah tiba. Azizi memanggil, Platun T-4334, lapor diri kepada Sarjan Sujak, segera!
Ketujuh-tujuh orang askar yang sedang makan itu segera bangun. Ada yang masih memegang bekas aluminium dan sempat menyuap suapan terakhir sebelum bergegas ke arah Azizi. Yazid yang pertama sekali sampai. Tangan kanannya belum dicuci. Dilap sahaja tangan itu pada seluarnya. Belakang tangannya pula mengelap mulutnya. Farid, Yunus, Zamri, Razak, Daud dan paling akhir sekali, Dali, membuat tiga barisan. Dali bergelut dengan AR-15 nya. Barangkali senjata tempur itu terlalu besar untuk tubuhnya yang paling kerdil dalam platun itu. Maklumlah, TENAMA tidak mempunyai senjata yang seragam. Ada yang pakai Uzi, TEC-9, AR-15, dan AK-47. Sebahagian besarnya adalah senjata tinggalan pejuang-pejuang masa lampau. Kalau adapun senjata-senjata moden, semuanya adalah senjata yang dirampas dan sukar digunakam kerana tidak ada bahan gantiannya.
Saudara-saudara, saya telah ditugaskan untuk membawa platun ini ke Kubanah Nuang. Sebenarnya, seluruh unit ini akan ditempatkan di Kubanah Nuang tetapi kita tidak dapat bergerak dalam satu unit. Terlalu besar risikonya. Jadi, kita terpaksa bergerak dalam waktu yang berasingan. Satu demi satu. Oleh kerana jalan yang ditempuh berbeza, ada kemungkinan kita akan bertembung sesama sendiri. Sekiranya bertembung, isyarat pengenalan kita adalah suara burung gagak..., sambung Sarjan Sujak dengan meniru persis seperti suara burung gagak.
Setakat ini ada pertanyaan tanya Sarjan Sujak.
Bila kita akan berangkat, Sarjan tanya Azizi.
Subuh esok, berkumpul di sini dengan kelengkapan lengkap, jam 0545. Ingat, saya tidak mahu apa-apa pun yang tertinggal, kata Sarjan serius. Mungkin daripada pengalaman yang lalu apa yang dikatakan itu pernah berlaku. Dia menghampiri Azizi sambil menghulur sketsa peta dan berkata, Saya mahu setiap orang menghafal jalan yang akan kita tempuh. Ingat gunung-gunung, sungai dan kampung yang akan dilalui. Kedudukan garis lintang dan bujur bagi kubanah-kubanah Gunung Semangko, Gunung Rajah, Gunung Hulu Kali, Kampung Bukit Tinggi, Kampung Janda Baik dan akhirnya Gunung Nuang. Faktafakta geografi harus dihafal. Semua perajurit itu tahu mengapa peta itu harus dimusnahkan. Jalan rahsia itu jangan sekali-kali jatuh ke tangan musuh. Pemusnahan peta itu bererti pihak atasan sudah menduga kemungkinan kematian di ambang pintu. Mayat-mayat perajurit tidak boleh mempunyai rahsia tentera. Jatuhnya rahsia semacam itu merupakan perangkap maut bagi rakan seperjuangan yang lain.
Sarjan Sujak membiarkan penghafalan peta itu berlangsung tanpa sebarang gangguan daripadanya. Azizi sudah habis menghafal. Diberikan pula kepada Zaki. Zaki tidak mengambil masa yang lama. Dia yakin Azizi telah menjalankan tugas penghafalan dengan baik. Zaki memberikan peta itu kepada Yazid dan berpindah randah peta itu dari satu tangan ke tangan yang lain. Di tangan orang yang kehebatannya tidak seperti kehebatan Azizi mengingati sesuatu, peta itu berada lama di tangannya. Pada yang tahu, mereka tidak perlu begitu tekun. Pada mereka yang sentiasa bergantung, mereka tidak mengambil berat untuk menghafal. Mereka menganggap Sarjan Sujak dan otak rakan seplatun yang lain sudah menghafal. Buat apa susah-susah. Sikap yang mematikan kegemilangan ketuanan bangsa. Tidak apa, biarlah orang lain yang melakukannya. Sikap demikianlah yang dianuti oleh nenek moyang mereka sehingga tanah air tergadai kepada kaum penjajah. Bangsa yang kini mengutuk habis-habisan nenek moyang mereka kerana sikap pasif itu, juga masih mewarisi sifat-sifat negatif itu tanpa merasa bersalah.
Akhirnya Dali selesai menghafal. Sebenarnya, dia lebih membaca daripada menghafal. Peta itu sudah di tangan Sarjan Sujak.
Ada yang hendak melihat kali terakhir tanya Sarjan itu dengan keningnya sedikit terangkat sambil memandang satu persatu wajah-wajah itu. Dia menanti. Hanya wajahwajah itu yang saling berpandangan.
Kalau tidak ada, biar saya bakar peta ini. Yang tinggal nanti cumalah ingatan saudara-saudara, kata Sarjan Sujak sambil memegang satu penjuru peta itu dan mulai membakar peta itu dengan pemetik api. Api menyala dengan galak. Apabila tangan kirinya hampir dijilat api, dia melepaskannya. Kertas yang telah menjadi arang itu berterbangan kemudian jatuh ke bumi. Dia membiarkan api itu membakar kesemua kertas itu. Tinggallah timbunan kertas. Kaki Sarjan Sujak memijak-mijak tompokan abu itu sehingga membentuk debu hitam yang berjelaga di tapak butnya. Dia kembali memandang kepada anakanak buahnya yang masih berusia dalam lingkungan akhir belasan tahun.
Ada pertanyaan lagi tanyanya mengulangi.
Berapa harikah perjalanan ini tanya Dali.
Lima atau enam hari, bergantung kepada kemampuan kalian semua. Kalau ada yang sakit atau cedera, mungkin lebih lama lagi. Sarjan Sujak berhenti sekejap dan kemudian dia teringat sesuatu. Saya ingin memberi amaran kepada saudara-saudara bahawa ini bukannya temasya atau piknik. Segala tingkah laku tentera yang berdisiplin harus dipatuhi. Kalau tidak, padah yang kita terima. Kalau seorang yang menerima padah, bererti satu platun akan menerima azab atau tanggungan tambahan. Jadi, beringatlah. Saya tidak mahu ada perajurit berhati lembik. Kerana kelemahan sedemikian akan melemahkan platun ini dan dapat membahayakan rakan-rakan anda. Singkirkan perasaan itu jauh daripada jiwa anda. Jiwa pejuang tidak rapuh. Jiwa pejuang harus kukuh seumpama tembok waja.
Walaupun ucapan Sarjan Sujak tidak ditujukan kepada Zaki tetapi dia cukup terasa. Zaki tunduk melihat rumput-rumput di tanah. Dia cuba berlindung daripada bertentangan mata dengan Sarjan Sujak. Dia kesal peristiwa di kabin itu. Sarjan Sujak menunggu lagi kalau-kalau masih ada perajurit yang mahu bertanya. Apabila dia berpuas hati dengan masa yang telah diberikannya, dia memerintah platun itu supaya bersurai. Perajurit, bersurai! laung Sarjan Sujak. Mendengar suara keras itu, semua anggota platun merapatkan kaki mereka. Zaki terkejut dengan bunyi gerak spontan itu.
Barisan itu mulai berpecah daripada susunannya. Masingmasing mengorak langkah. Sarjan Sujak kelihatan menuju ke pos unit itu. Azizi dan Zaki menuju ke arah lubang masuk kubanah. Yang lain mencari rakan-rakan mereka di platun, untuk mengetahui bilakah rakan-rakan itu akan berangkat. Atau mereka ingin memberitahu keberangkatan mereka Subuh pagi besok, atau memberi salam perpisahan buat sementara, sehingga bertemu di kubanah tanah Nuang.