Minggu lalu dia datang bersama Najwa. Teman baru Sarjana Sains Nutrisi dari Universiti Putra yang suka benar untuk singgah di sini. Katanya perpustakaan ini begitu mesra pelajar walaupun pada pelajar dari universiti lain. Ya seharusnya perpustakaan itu sifatnya mesra. Bagaimana mungkin orang mahu senang mendekat pada buku jika ada saja prosedur berlebihan yang menyekat pada setor penyimpanan buku ini. Ada perpustakaan yang hanya dibuka sampai jam 5 petang. Ada yang langsung tidak dibuka pada hujung minggu. Sedangkan ramai yang perlukan ruang bagi menyokong aktiviti bersumberkan buku dan ilmu.
Jika kita boleh ada gim, spa, wayang dan banyak lagi tempat melepaskan kepenatan dari siang hari, perpustakaan juga harus jadi salah satunya. Untuk merawat kelelahan, untuk memberi terapi semangat dan inspirasi hidup, khusus buat pencinta buku.
Sebulan lalu sempat dia membaca novel Perpustakaan Ajaib Bibbi Bokken tulisan Jostein Gaarder. Petikan kata buku itu cukup indah bagi penggemar buku sepertinya. Tulis Gaarder;
Aku berjalan menyusuri rak-rak perpustakaan. Bukubuku tersebut melambaiku. Tak seperti manusia yang ingin berjarak denganku, buku-buku itu malah menawarkan diri untuk memperkenalkan diri mereka. Bermeter-meter jajaran buku yang tak akan pernah mampu kubaca. Dan aku tahu; apa yang ada di sini adalah kehidupan yang merupakan pelengkap kehidupanku, yang menanti untuk dimanfaatkan. Tetapi hari-hari berlalu, dan kesempatan itu tetap tak tergapai - terabaikan. Salah satu buku ini mungkin benar-benar bisa mengubah hidupku. Siapakah aku sekarang Siapakah sebenarnya aku
Ah... Dunia buku memang istimewa. Seperti mana orang boleh ketawa menatap telefon, menatap foto, menatap wajah orang yang dia cinta, begitulah juga dia. Sering dia berekspresi dengan hanya membaca. Dia senyum sendiri membaca ayat-ayat bahagia. Dia mengalirkan air mata saat membaca watak hiba. Dan dia mampu berjalan teguh setelah membaca bait-bait inspirasi. Mengingatkan momen dengan buku itu sudah cukup mengisi jiwanya.
Dihirupnya lagi Teh Botol sekotak itu. Kosong. Tak bersisa lagi. Dia menghela nafas panjang, memandang ke hadapan. Tak ada yang datang dari tangga perpustakaan itu. Di sekelilingnya tak ada seorang pun wajah yang dia kenal. Lima tahun lamanya masa yang berlalu dari saat dia graduasi di kampus ini. Lima tahun yang tak pernah membuatkan universiti ini jauh dari hidupnya. Sampai dia merasa di sinilah jalannya. Bukan sebagai pelajar sarjana atau kedoktoran apatah lagi sebagai pensyarah.
Lalu dia di sini sebagai apa