LISBI: Kerana aku telah memerdekakan diriku.
ABU INSAN: (Dahi makin berkerut) Memerdekakan diri
LISBI: Ya. Aku telah membalas dendam. (Tersenyum puas) Aku telah membunuh pembunuh anakku itu. Membunuhnya dan menyeksanya.
ABU INSAN: (Langkahnya terkebelakang. Sedikit takut) Bagaimana kau boleh lepas daripada hukuman
LISBI: Aku lari. Ke sini. Bersama-sama keluargaku. Maka, terlepaslah aku. (Tertawa dengan sekuat-kuatnya)
ABU INSAN mengundurkan langkahnya sedikit lagi.
LISBI: (Tawanya terhenti) Usah kau takut kawan. Aku tidak membunuh tanpa sebab. Tetapi, apa yang berlaku terhadap anakmu, harus juga berlaku terhadap si pembunuh itu. Nyawanya harus dipermainkan juga olehmu.
ABU INSAN: (Mengerutkan dahi) Aku harus membunuhnya
LISBI: Ya.
ABU INSAN: Tetapi, si pembunuh itu sudah dibawa kepada pihak berkuasa. Aku tidak boleh melakukan itu.
LISBI: Aku tidak fikir begitu, kawan. Kau tidak perlu mengikut langkahku. Tidak perlu membunuh dengan tanganmu. Kau boleh sahaja membunuhnya dengan menggunakan kuasa pihak yang berkuasa itu. Hutang darah dibayar darah! (Tersenyum penuh muslihat)
ABU INSAN memandang LISBI dengan wajah yang keliru.
LISBI: Kau benar-benar kelihatan keliru sahabatku.
ABU INSAN: Ya. Katakan bagaimana Katakan! Aku mahu tahu!
LISBI menoleh ke kanan dan ke kiri. Setelah memastikan tiada sesiapa yang berada di situ, LISBI mendekati ABU INSAN. LISBI memegang bahu ABU INSAN dan mereka berdua membelakangi penonton. LISBI dan ABU INSAN membincangkan sesuatu. Suara mereka sayup-sayup sahaja dan butir perbincangan mereka tidak jelas.
LISBI: (Kembali menghadap penonton) Bagaimana Mahukah kau jika aku menolongmu begitu Tanganmu boleh sahaja dikotori darah si pembunuh durjana itu. Tetapi, dengan cara ini, tanganmu akan kekal suci.
ABU INSAN: Tetapi, memang mati adalah hukuman untuk si pembunuh. Aku tidak perlu membunuhnya kalau aku mahu dia mati.
LISBI: (Menepuk-nepuk belakang ABU INSAN) Seperti yang aku katakan tadi, kau harus menyeksanya sebelum dia dihukum. Kau fikir, palang kayu dan tali gantung itu cukup untuk menebus harga nyawa anakmu Kekayaanmu juga tidak cukup untuk mengembalikan anakmu.
ABU INSAN: (Melihat telapak tangannya) Mampukah aku melakukannya
LISBI: Apa yang membuatkan kau berfikir bahawa kau tidak mampu
ABU INSAN: Kau fikir aku mampu mempengaruhi orang begitu sahaja
LISBI: Nah, kawan. Sudah aku katakan tadi. Bukankah aku akan membantumu
ABU INSAN: Kalau begitulah jaminanmu, aku akan cuba.
LISBI: Bukan cuba, sahabat. Bukan cuba. Usah fikir untuk mencuba. Kau harus lakukan. Harus lakukan dan kau harus berjaya.
ABU INSAN: (Bersemangat) Ya.Ya. Aku akan lakukan. Harus lakukan. Dan aku harus berjaya. Akan berjaya.
LISBI: Begitulah yang aku mahu lihat. Kawan aku sudah kembali bersemangat. Kembali berdaya untuk melimpahkan lagi kasih sayang terhadap anaknya. Berdaya untuk menunjukkan cinta terhadap isterinya.
ABU INSAN: (Memegang sebelah bahu LISBI) Terima kasih. Terima kasih kawan.
LISBI: (Tersenyum) Usah ucapkan terima kasih. Kau berhak untuknya. Aku harus minta diri sekarang. Keluargaku menanti. Aku pulang dulu.
ABU INSAN: Sila. Silakan kawan.
ABU INSAN dan LISBI bersalaman dan berpelukan. LISBI keluar dari pentas.
ABU INSAN: Tetapi. (Melaung) Apa namamu, kawan (Menginjak-injakkan kaki cuba melihat kelibat LISBI)
Suasana sunyi. Sepi. Tiada jawapan daripada LISBI.
ABU INSAN: Tidak mengapalah. Nama tidak penting, kawan. Kau lebih baik daripada si pembunuh itu. Malah lebih baik daripada orang-orang yang tiada simpati.
Pentas digelapkan.