KENA ROTAN - 2
Melangkah di atas bumi ini,

terasa kerdil...

Bukan kerana diri ini kecil,

atau zaman ini yang terlalu luas...

Juga bukan kerana pandangan mata insan

yang terbatas

Tetapi dek kerana titis-titis dosa yang berbaur

dalam merah darah,

mengalir di dalam pembuluh

meriap di dalam tubuh,

menghidupkan seketul daging,

sekepal nan kerdil nian,

penuh dosa yang mengekori...

menghantui...

melimpas di ruang puaka diri sendiri.

Lantas akal menjadi kepingin amat,

menjejaki cahaya dalam terangnya siang,

mencari penyuluh di kala kelamnya malam.

Syukur...

Di sini kutemui sorotan sinar itu...

Tika aku tergagau mencari pautan agar aku

tak lagi kegelinciran

Kau hadiahkan cinta-Mu

pada tenangnya iman

dinginnya kesabaran,

nirmala kasih dan cendayam sayang

Moga berterusan kembara insaniku

yang kembali berlandasan.

Dewan Siswa

-----

IDEA, BAHASA DAN SENI DALAM SAJAK

Sajak Sayidah Muizzah Kamarul Shukri menggunakan beberapa

kata yang agak arkaik. Perkataan radif yang berada dalam judul

sajak ini sudah pun arkaik. Pemilihan kata arkaik, atau sebarang

kata yang jarang digunakan, termasuk dalam perkaedahan sajak.

Sajak Sayidah memiliki idea yang bagus. Dia mengatakan

bahawa manusia adalah kerdil kerana dosa. Oleh sebab itu

manusia perlu mencari kebenaran agar dosa terhakis. Saya dapat

mengesan idea tersebut melalui penafsiran kata-kata yang dipilih

dan baris-baris yang dibina oleh Sayidah.

Profesor Rahman Shaari