Kita harus berhati-hati. Hutan getah bererti di sekitar kawasan ini pernah satu ketika dulu dihuni manusia. Beri isyarat hati-hati pada yang lain, perintah Sarjan Sujak kepada Azizi.
Baik, encik! Azizi memberi isyarat tangan kepada anggota lain agar berhati-hati dalam gerakan. Azizi berjongkok di belakang batang pokok getah. AK-47 nya dipegang dengan muncung laras mendongak ke langit.
Semua dalam posisi tanya Sarjan pada Azizi.
Ya encik, jawab Azizi.
Azizi, awak buat intaian. Sudah o.k., beri isyarat. Azizi tidak menjawab perintah Sarjan, terus turun di lereng cerun itu dari satu pokok getah ke pokok yang lain. Pokokpokok hutan liar di antara pokok-pokok getah mengganggu pergerakan Azizi. Apabila separuh cerun itu dituruni, dia agak sukar pula untuk berhenti. Keadaan cerun itu memaksa dia berlari pantas. Azizi sudah 200 meter ke bawah daripada rakan-rakannya. Dia berhenti beberapa ketika.
Azizi memberi isyarat ok kepada Sarjan. Sarjan memerintahkan Yunus, Zamri dan Razak turun menyertai Azizi. Mereka segera menjalankan perintah. Zamri tersepak sesuatu lalu terjatuh berguling-guling kemudian tersangkut di perdu pokok getah. Perdu pokok getah itulah yang menghalangnya daripada terguling hingga ke kaki bukit. Razak bergegas membantu Zamri yang tercedera kecil, luka calar-calar pada muka dan tangannya. Sarjan Sujak hanya menggeleng-gelengkan kepala. Zamri kelihatan turun dari cerun itu, agak keletihan. Mereka bertiga sudah sampai di kaki bukit. Azizi, Yunus, Zamri dan Razak berada dalam keadaan berjarak antara satu sama lain. Mereka saling berpandangan sesama sendiri. Tiba-tiba terdengar bunyi pelatuk ditarik.
Jangan bergerak! Kami tembak! Suara lantang itu keluar dari belakang Azizi serentak dengan bunyi tarikan pelatuk. Azizi yang memegang AK-47 nya berpaling dan terlintas di hatinya untuk melepaskan tembakan, tetapi daripada suara jeritan itu dapat dikenalinya bahawa suara itu adalah suara anak watan. Dia membatalkan niatnya. Dia sempat melihat kawan-kawannya yang lain telah berada di muncung raifal musuh.
Letak senjatamu perlahan-lahan...awas! Kalau tidak kamu ditembak!
Azizi terpaksa mengikut arahan itu. Dalam benaknya terlintas juga apakah ini saat-saat terakhir hayatnya tanpa sempat membunuh seorang musuh pun. Ke mana perginya Sarjan Sujak, fikirnya lagi.
Meniarap! Lekas! Kalau tidak aku bedil, kata suara itu dengan loghat Timur.
Azizi menurut sahaja, lalu meniarap. Belum berperang sudah jadi tawanan, fikirnya.
Dua tangan ke belakang, lekas! teriak suara itu. Teriakan yang sama juga kedengaran datang daripada manusia berseragam compang-camping itu. Yunus, Razak dan Daud sudah melepaskan senjata mereka ke tanah. Askar-askar itu menyepak senjata-senjata mereka ke tepi. Ketika tangan mereka diikat, terdengar suara Sarjan Sujak menggertak. Lepaskan mereka. Kalau tidak, kami tembak!
Jangan tembak...jangan tembak, kata salah seorang askar yang berpakaian kotor itu, Kami tentera PETA, kami cuma olok-olok saja.
Letak senjata kalian perlahan-lahan, perintah Sarjan Sujak. Azizi, Yunus, Razak dan Daud segera bangun merampas senjata mereka kembali. Mereka segera mengambil senjata askar-askar PETA yang telah dilucutkan.
Kesemua sepuluh anggota TENAMA mengelilingi askaraskar PETA yang tertawan. Muncung-muncung raifal kini mengarah ke muka mereka.
Sarjan, saya Kapten Fikri dari Regimen Komando PETA. Saya percaya Sarjan terpaksa memberi tabik hormat kepada saya, kata askar itu dengan menunjuk lambang pangkat di bahunya.
Saya hanya memberi hormat kepada perwira TENAMA sahaja, balas Sarjan Sujak.
TENAMA dan PETA adalah bersaudara. Menurut perjanjian, perwira dari mana-mana kumpulan pun akan dihormati selayaknya, kata Kapten Fikri menuntut haknya. Dia mara ke hadapan, sambil menguak dengan tangannya muncung-muncung senapang yang tertegak di kiri kanannya. Kapten Fikri bertentang mata dengan Sarjan Sujak.
Apa buktinya yang kau seorang perwira tanya Sarjan Sujak kasar.
Ini dia! Kapten Fikri membuka dadanya dan menunjukkan lencana logam yang tergantung pada lehernya. Sarjan Sujak membelek lencana itu, lalu memberi tabik sekadar saja.
Perwira TENAMA selalu berpakaian kemas. Mana lagi anak buah... tuan
Saya sudah setahun putus hubungan dengan markas. Tiga orang ini sajalah yang tertinggal, jelas Kapten Fikri. Sarjan Sujak tahu markas PETA tempatnya di Gunung Gagau di Banjaran Timur, sebab itulah dia terputus hubungan dengan markasnya. Dan untuk ke kawasan ini, dia harus menempuh jalan ke Gunung Penumpu kemudian melalui Gunung Perlis ke Gunung Tahan. Dia pasti terpaksa menyusuri Banjaran Gunung Tahan untuk sampai ke Gunung Rabung dan melali Gunung Bedung dia sampai ke Dataran tinggi Cameron. Kemudian dia menyusuri ke Selatan di Banjaran Titiwangsa. Tidak ada tentera yang mahu menempuh jalan datar melalui Kuala Lipis yang tentunya akan menyongsong maut.
Jadi, Kapten tidak terikat dengan mana-mana regimen lagi tanya Sarjan Sujak.
Tidak. Kami bergerak bebas buat sementara sehingga kami berpeluang kembali ke Markas PETA yang terdekat iaitu di Gunung Rabung. Kapten Fikri menyambung, Sarjan membawa anak buah ke mana
Ke satu destinasi yang tidak dapat saya beritahu, jawab Sarjan.
Bagus, saya juga tidak mahu tahu. Bebaskan anak buah saya.
Bebaskan tawanan! perintah Sarjan Sujak.
Tawanan! PETA dan TENAMA bersaudara. Mana mungkin kami dipanggil tawanan. Kapten Fikri bersungut.
Kapten boleh mengambil anak buah Kapten dan beredar dari sini. Saya berharap Kapten tidak membuat serang hendap terhadap askar TENAMA yang lain yang mungkin menggunakan laluan ini.
Oh ya, tidak. Tidak lagi. Hanya ingin menguji kemahiran askar TENAMA, kata Kapten Fikri macam bersenda saja.
Salah uji mungkin membawa padah. Yang gugur anak bangsa sendiri, tegur Sarjan Sujak yang kelihatan lebih tua daripada Kapten Fikri.
Maaf Sarjan, kalau kami terlanjur, Kapten Fikri memberi isyarat kepada anak buahnya untuk beredar dari tempat itu.
Ketiga-tiga orang anak buahnya memperolehi senjata mereka kembali. Mereka berempat bergerak melangkah ke arah terbitnya matahari. Kelihatan lapisan cahaya biasan sinar sang suria pagi menyaluti kepala dan rambut mereka. Pembela tanah air, begitulah nama yang mereka pilih. Salah satu kumpulan daripada puluhan kumpulan serpihan pembebasan kebangsaan. Mereka dicap sebagai pemberontak oleh Pemerintah Republik. Dulu ketua mereka berkompromi dengan Pemerintah Republik menuntut autonomi terhad di Wilayah Timur, tetapi Pemerintah Republik tidak menepati janji mereka terhadap golongan beraja. Tidak ada kuasa autonomi untuk kaum bangsawan malah fahaman feudalisme telah dihapuskan dengan pembunuhan terhadap pewaris fahaman feudalisme. Pewaris-pewaris yang terselamat pula, menubuhkan tentera elit yang dinamakan PETA.
Gerombolan tentera PETA yang kehilangan keelitannya menghilangkan diri daripada pandangan Azizi. Sarjana Sujak memberi taklimat berhubung dengan tertewasnya Azizi dan ketiga-tiga kawannya kepada tentera PETA. Bagaimana perkara itu boleh terjadi kerana kesalahan taktik dan strategi kedudukan di antara seorang perajurit dengan perajurit yang lain. Semua anggota platun itu menyedari bahawa pembentukan gerakan mereka amat membahayakan. Sarjan mengingatkan bahawa adalah berbahaya bergerak dalam satu barisan. Mereka perlu mengekalkan jarak yang selamat. Sarjan Sujak memberi kata-kata akhirnya sebelum mereka meneruskan perjalanan.
Matahari tegak di atas kepala. Platun T-4334 berehat di tanah yang agak datar. Mereka bergilir-gilir bersembahyang Zuhur. Mereka hanya dapat berjemaah seramai tiga orang. Yang masih suci, terus bersembahyang tanpa tayamum. Selesai bersembahyang Zuhur, mereka bergilir-gilir makan pula. Yazid, Dali dan Zaki ditugaskan mengawal. Masingmasing menempati tiga penjuru. Yang lain duduk membuka bekalan makanan mereka. Nasi separuh masak tersedia dalam paket yang hanya perlu dituangkan air mendidih selama lima minit, disejat dan sudah sedia untuk dimakan. Kuah dan lauknya tersedia dalam kertas aluminium yang perlu direndamkan dalam air panas. Itu adalah teknologi makanan kurun ke-20 yang masih primitif, berbanding dengan teknologi tentera musuh yang dapat membawa sumber makanan untuk berminggu-minggu lamanya. Semuanya dalam bentuk pilet. Baik karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan mineral, semuanya dimampatkan dalam bentuk kaplet, tablet atau kapsul. Jika inginkan makanan yang mengenyangkan, mereka ada self-expanding microfibre tablets; Cuma telan tablet-tablet tersebut bersama seteguk dua air mentah dan serabut-serabut kanji itu akan kembang dalam perut dan memberi rasa kenyang, seasli rasa makan nasi atau roti. Sering dijoloki roti getah oleh para pejuang. Jarang-jarang mereka dibekalkan dengan roti getah kecuali mereka diarah melalui kawasan tandus akibat senjata kimia yang digunakan oleh tentera Republik. Malah tentera Republik dibekalkan dengan tablet-tablet ATP subligual yang dihisap di bawah lidah, dengan serta merta badan yang keletihan memperolehi tenaga segera. Mereka bertenaga biarpun berminggu-minggu menjalankan rondaan. Untuk misi platun ini, mereka hanya dibekalkan jatah untuk makan sehari. Makan malam dijangka disediakan di kubanah Gunung Hulu Semangko.
Apabila Sarjan Sujak dan yang lain selesai makan, Azizi, Yunus dan Razak pula menggantikan tugas Yazid, Dali dan Zaki. Azizi membuka botol airnya, dia cuba menggogoknya namun ternyata kosong. Dia terasa amat dahaga. Dia terlupa air dari botolnya sudah habis dijerang, buat memasak kuah dan nasi. Zamri yang sedang bersandar di perdu pokok dipanggil. Dia meminta Zamri menggantikan tempatnya. Azizi keluar mencari air. Dibawa bersama botol air Zamri yang juga hampir kosong.
Daripada ingatan Azizi, ada anak sungai yang berdekatan dengan kawasan itu. Dia menuruni cerun bukit itu. Azizi mencari-cari bunyi air yang mengalir. Dia memasang telinga mengesan arah datangnya bunyi itu. Sungai yang dicari akhirnya ditemui di antara dua lurah bukit.
Air sungai yang jernih mengalir deras, kesejukan airnya menarik keinginan untuk merendam tubuh apalagi di waktu panas yang cukup membahang. Kedua-dua botol air itu direndam di dalam genangan air yang terperangkap di antara batu-batu yang berlonggok di gigi air. Air yang terdesak mengalir ke muara. Azizi menutup botol-botol air yang telah penuh berisi itu. Diletakkan botol-botol itu di tanah. Kemudian dia mencedok air dengan tangannya untuk diminum. Belum sempat bibirnya menyentuh air di telapak tangannya, tiba-tiba hinggap satu tendangan dari kaki berkasut but hitam. Meskipun kesakitan, secepat kilat dia mengacukan raifalnya ke arah datangnya tendangan itu.
Jangan minum air itu! jerkah suara itu. Jari terlunjuk kanan Azizi sudah mencecah pelatuk senapangnya ke arah muka Sarjan Sujak. Azizi bangun dalam kebingungan.
Perajurit Azizi, awak harus lebih berhati-hati. Setiap tindakan awak perlu diberitahu kepada saya. Kenapa dengan air ini tanya Azizi, hairan.
Air sungai ini beracun. Lihat saja sekitarmu. Tiada tumbuhan enam kaki dari tebing sungai. Dan ini apa tanya Sarjan Sujak sambil menunjukkan pada tulangtulang katak di tebing itu.
Tulang-tulang binatang, jawab Azizi.
Binatang amfibia, habitatnya di darat dan di air. Tandatanda ini selalu harus jadi amaran.
Siapa yang meracuni sungai ini tanya Azizi sambil membuang air dari botol-botolnya tadi.
Siapa lagi, kalau tidak Tentera Republik. Mereka tidak dapat memusnahkan kita, mereka racuni sumber minuman kita. Sarjan Sujak dan Azizi menuju ke tempat rehat mereka.
Bagaimana kita boleh mendapatkan sumber air yang selamat
Dari air hujan. Dalam rimba ini terdapat beberapa jenis tumbuhan yang bunganya dapat menakung air. Nanti saya tunjukkan bagaimana mencari dan mendapatkannya, jelas Sarjan Sujak.
Apabila Sarjan Sujak dan Azizi sampai di tempat rehat, anggota-anggota platun sudah siap menyandang kelengkapan mereka, siap untuk meneruskan perjalanan ke kubanah Gunung Hulu Semangko. Mereka harus segera bergerak, jika tidak mendaki gunung di waktu malam adalah suatu tugas yang mustahil untuk dilakukan. Kubanah itu harus dirapatinya sebelum terbenamnya cahaya senja.
Dali yang diberi tugas mengintai, memberi isyarat untuk menyeberang jalan raya di lurah antara pergunungan Fraser dengan Gunung Hulu Semangko. Tidak nampak sebarang EMLEV meronda. Kalau ada, kenderaan itu akan melayang beberapa sentimeter di atas permukaan jalan. Enjin jet yang menggerakkan EMLEV memperolehi tenaga daripada reaktor nuklear mini yang terbenam dalam perut kenderaan itu. EMLEV dilengkapi senjata laser yang tidaklah tepat jika hanya dikatakan sebagai senjata yang mematikan malah dengan semburan sinar anti matter, jasad manusia akan lenyap, pupus, tanpa sebarang bekas ata sisa.
Setelah menyeberangi jalan raya itu, mereka sudah mendaki Gunung Hulu Semangko. Sarjan Sujak dan anakanak buahnya bergerak ke arah tenggara. Azizi dan Zaki mendaki dalam jarak visual. Beberapa kawasan terlalu curam untuk didaki bersendirian. Kelihatan mega kelabu berarak di sebelah Timur ruang angkasa. Sarjan Sujak tidak dapat memastikan arah pergerakan awan itu. Arah angin di permukaan bumi tidak sama dengan arah angin di angkasa. Walau bagaimanapun dia tidak dapat memandang ringan keadaan mendung di sebelah Timur itu. Dia terus menggesa anak-anak buahnya mendakit tanpa rehat.
Empat jam pendakian telah berlalu. Tiada sesiapa pun yang mendapat cedera lagi selain daripada Zamri sewaktu di hutan getah tadi. Dia nampaknya sudah pulih. Kubanah Hulu Semangko sudah dekat. Dua jam pendakian lagi mereka pasti akan sampai. Fauna dan flora sudah berubah lagi, menyerupai kubanah Fraser. Ancaman mendung tidak menjadi. Hujan entah dibawa ke mana. Tiada siapa yang peduli lagi kerana langit masih cerah. Awan di dada langit bagaikan sisik ikan, nipis dan jarang.
Akhirnya mereka sampai ke kubanah Gunung Hulu Semangko setelah menerima isyarat kebenaran untuk masuk ke kawasan kubanah. Dalam kelesuan itu di bawah cahaya senja yang menguning pada wajah-wajah yang berkeringat, mereka terus memasuki kubanah itu. Sarjan Sujak dengan ditemani Azizi pergi ke markas kubanah itu untuk melaporkan kehadiran platun mereka. Anggotaanggota platun yang lain berehat di perdu-perdu pokok besar. Setelah sampai barulah anggota platun menyedari bahawa kubanah itu dipanggil Kubanah GUS seperti yang tertera pada papan nama kecil yang digantung pada salah satu pokok di medan kawat. Kubanah GUS agak berbeza daripada kubanah Fraser. Ia lebih teratur. Ada lorong-lorong yang dibina rapi daripada batu-batu gunung yang disusun di tepi lorong-lorong itu. Bunga-bunga liar tumbuh di celah-celah batu itu, seolah-olah ada orang yang menanamnya. Permukaan kubanah GUS lebih ketara sebagai markas tentera yang menempatkan Infantri Batalion ke-7 TENAMA. Walaupun markas ini kelihatan terdedah kepada serangan pesawat AGA musuh tetapi ternyata mereka lebih berani. Bendera Persekutuan megah berkibar tanpa gentar akan serangan Tentera Udara Republik. Tidak kurang daripada 20 buah SA-3 Goa mendongak ke udara, peluru-peluru berpandu itu pasti membuat pesawat AGA TUR menghindari radius 30 km dari pusat kubanah GUS.
Sarjan Sujak dan Perajurit Azizi sudah kembali dari Bilik Gerakan Markas Kubanah GUS. Mereka ditempatkan di Zon C53. Kesemua anggota platun T-4334 bergerak longlai menuju lubang masuk Zon C53. Apabila mereka turun melalui tangga yang berbentuk lingkaran ke ruang legar Zon C53, mereka bagaikan tidak percaya bahawa mereka berada di dalam kubu bawah tanah. Dinding kubanah itu dibuat daripada teras-teras kayu yang pejal, lantai dan lelangitnya diperbuat daripada papan bervarnis, berkilat apabila disinari cahaya lampu solar yang terang benderang. Tiang-tiang kayu menyangga alang-alang yang kukuh seolah-olah menahan tanah di atasnya. Pada mata yang tahu, tanah itu tidak tahan oleh alang dan papan-papan nipis itu, sebaliknya konkrit setebal setengah meter mengelilingi setiap ruang yang ada di kubanah itu. OC Kubanah GUS seorang jurutera. Dia mencipta suatu campuran konkrit dengan logam plumbum supaya dapat memberi perlindungan dari bahana sinar nuklearmini yang memberi kerosakan di kawasan yang terhad. Penggunaan bom nuklear telah dilarang di seluruh dunia berikutan pemusnahan sebahagian besar dari daratan dunia semasa Perang Dunia Ketiga.
Azizi dan Zaki berkongsi kabin yang dilengkapi dengan katil bertilam. Sudah sekian lama mereka tidak tidur di atas katil bertilam, rindunya akan keempukan tilam tertunai sudah. Juga sudah dapat mandi di bilik mandi dan makan di dewan makan dan ruang rehat. Dewan makan dihubungkan dengan dapur kubanah yang dapat menghantar makanan melalui terowong bergerak. Setelah mandi dan makan, mereka diperintahkan untuk segera tidur kerana pagi-pagi lagi mereka terpaksa meredah hutan gunung untuk ke kubanah Gunung Raja.
Nikmatnya meneguk kopi belum lenyap daripada pengecapan Zaki, walaupun yang tinggal hanyalah gambaran dan bau harum kopi yang dihidangkan di Subuh itu. Pokok-pokok kopi memang tumbuh liar di sekitar hutan GUS. Mungkin pertamanya, ada orang yang menanamnya kemudian terbiar dan hidup seperti tumbuhan hutan yang bersaing untuk hidup. Zaki sedang mengekori Azizi dalam jarak pandang. Di belakangnya kelihatan Dali yang pendek itu termengah-mengah mendaki. Mereka tahu Gunung Rajah lebih tinggi daripada Gunung Hulu Sumongko. Jika ada pilihan perjalanan, yang satu mudah dilewati dan yang satu lagi suka dilalui, mereka terpaksa memilih yang sukar. Ini tentulah untuk menghindari pertembungan yang tidak diduga dengan Tentera Republik. Tentera Republik pasti mengambil jalan yang mudah.
Fikiran Zaki mengembara ke kampung halaman, mengingat ibu dan adik-adiknya biarpun kakinya terus melangkah, mendaki di antara celah-celah batu gunung yang sempit dan berbahaya. Entah kenapa wajah ibu dan adik perempuannya terbayang-bayang di layar benaknya. Kehidupan di Kamba, kawasan setinggan yang padat di Keyel Lama, memang susah. Dia bertanya di hati kecilnya dapatkah mereka sebuku roti dan sepinggan nasi setiap hari Pemerintah Republik mengepung jalan masuk Keyel Lama. Semua bekalan makanan dari Keyel baru dan dari tempat-tempat lain juga disekat atau dirampas. Penduduk Keyel Lama terpaksa bergantung hidup daripada sumber tanah hutan konkrit yang tinggal puing-puing. Walaupun ada, sumbernya terhad. Kadang-kadang Tentera Republik dapat masuk membuat serangan hendap terhadap markasmarkas gerila kota tetapi apabila gagal dan terpaksa berundur, mereka menghancurkan rumah-rumah kaca yang digunakan oleh penduduk Keyel Lama untuk menanam sayur-sayuran. Sayur-sayuran itu mati terkena sinar cahaya laser daripada pistol dan raifal mereka.
Zaki terkejut daripada lamunannya apabila kaki kanannya terasa amat sakit. Seekor ular tedung sedang membenamkan kedua-dua taringnya menembusi kain seluarnya. Zaki mengaduh menahan kesakitan yang tidak terhingga kerana bisa ular. Dalam kesakitan dia melepaskan tembakan jarak dekat pada kepala ular itu yang tidak mahu melepaskan kaki Zaki. Ditembaknya tanpa menghiraukan bahaya kakinya akan tertembak juga. Dia rebah.
Mendengar jeritan Zaki, Azizi menerkam turun ke cerun berbatu itu. Zaki terkulai pengsan di tanah dan uzinya terlepas dari genggamannya. Ular tedung tanpa kepala berada tidak jauh dari kaki Zaki.
Sarjan, Zaki dipatuk ular! jerit Azizi. Dali yang mengekori Zaki sudah berada di tempat itu.
Ikat betisnya, kata Dali. Azizi mengoyak seluar kain khaki yang tebal itu dengan pisau. Robekan kaki seluar itu diperbesar dengan tangannya. Tampak lelehan darah keluar dari liang patukan.
Hisap darah itu dan ludahkan, kata Dali lagi. Azizi mengikat betis kanan Zaki ke atas sedikit dari tempat liang patukan.
Atas sedikit lagi, tambah Dali. Azizi mengubahnya. Disedutnya sekali dan diludahkan darah beracun itu. Diulangi beberapa kali. Dali mengampu kepala Zaki dengan tangannya dan mengalihkan kepala Zaki bersandar pada dadanya.
Kenapa dia tanya Sarjan Sujak yang baru tiba.
Dipatuk ular, sarjan, jawab Azizi sambil meludah ke tanah.
Siapa yang membawa kotak First Aid tanya sarjan lagi.
Yazid, sarjan, jawab Dali.
Panggil dia segera! Sarjan Sujak menggantikan tempat Dali. Dali segera turun mendapatkan Yazid yang masih berada di bawah. Pekikan suaranya memanggil Yazid membalikkan gema dari bukit-bukau di seberang gaung itu. Kelihatan Yazid tergesa-gesa mendaki ke atas.
Mana kotak First Aid tanya sarjan. Yazid mengeluakan kotak itu dari beg galasnya. Sarjan Sujak mengambil sebotol vial Multi-Venum Globulin; ubat penawar pelbagai racun ular dan siring berjarum yang steril.
Ambil kapas dan spirit, perintah sarjan pada Yazid. Penawar racun itu disuntik di kawasan patukan dan separuh lagi pada otot deltoid di bahu kanan.
Zaki masih tidak sedarkan diri. Sarjan membuka baju Zaki dan merapatkan cuping telinganya pada dada Zaki yang berbulu. Rasa geli tusukan kecil bulu dada Zaki yang menggeletek telinganya lenyap oleh rasa cemas yang mengancam. Biarpun bukan seorang paramedik, Sarjan Sujak tahu jantung itu berdenyut kencang.
Dali, perintah sarjan sambil memandang Razak yang baru saja tiba, dan awak, ... Razak, buatkan usungan kayu.
Kita perlu membawanya segera ke kubanah Gunung Rajah. Di sana ada doktor. Jika kita sampai lebih awal, mungkin Zaki boleh diselamatkan.
Bagaimana harapan kita tanya Azizi cemas.
Kita sudah di pertengahan jalan. Tak mungkin berpatah balik ke Hulu Semangko, jawab Sarjan Sujak dengan tangannya merenjis-renjis air botol aluminium itu pada muka Zaki.
Dia masih ada tanya Azizi naif.
Jantungnya berdenyut dan dadanya berombak, sambung sarjan lagi, tapi dia masih koma. Saya berharap ubat penawar racun itu akan memulihkannya.
Dali dan Razak kembali dengan membawa usungan kayu yang mereka buat daripada dahan-dahan pokok di lereng gunung itu. Kulit kayu yang liat pula dijadikan tali untuk mengikat batang-batang kayu yang dilintangkan di antara dua batang kayu panjang yang lurus. Kerja-kerja membuat usungan ini tidak mungkin dapat disiapkan dalam masa dua puluh minit kalau tidak dibantu oleh Zamri dan Yunus. Di atas usungan berlantai jarang itu disusun daun-daun yang besar dan panjang sebagai pelapik untuk mengurangkan rasa kasar buku-buku kayu.
Air yang direnjis ke muka Zaki tidak juga dapat menyedarkannya. Kaki dan tangan Zaki terpaksa diikat pada usungan itu. Kalau tidak, dia pasti terguling ke bawah. Apalagi usungan itu akan dibawa mendaki lereng gunung yang banyak serpihan batu-batu granit akibat pengeboman. Tugas pengusungan digilirkan di antara perajurit. Azizi beberapa kali menolak giliran mengusung. Dia tidak mengendahkan permintaan teman-temannya, kerana telapak tangannya sudah mermar. Apabila mereka berhenti berehat setelah tiga jam mendaki, telapak tangan mereka kelihatan menggelembung dengan cecair bening terdapat di dalamnya. Dibebati tangan-tangan itu, dengan sapu tangan atau tuala kecil. Perit kesakitan daripada luka melecet di tangan itu terbiar begitu sahaja. Mereka sudah diberi pelalian, ubat kekal semula jadi.
Azizi duduk di sisi Zaki yang membujur di atas usungan itu. Kelopak mata Zaki mulai terbuka sedikit.
Sarjan, Zaki! jerit Dali kepada Sarjan Sujak yang sedang duduk di atas batu, memandang ke lurah antara dua puncak anak gunung.
Kenapa dia tanya Sarjan menghampiri usungan.
Sudah sedar, Sarjan, kata Dali yang meramas-ramas tangan Zaki.
Syukur alhamdulillah. Dengan izin Allah penawar itu telah menyelamatkannya. Kita perlu meneruskan perjalanan ke Gunung Rajah sebelum hari gelap. Sarjan hanya memerhatikan wajah Zaki yang kebingungan.
Kau dipatuk ular, kata Azizi kepada Zaki.
Ya sahut Zaki dengan pertanyaan kurang pasti.
Benar Zaki. Kau pengsan selepas itu, jelas Azizi sambil memerhati pada betis kanan Zaki yang bengkak, hitam kebiruan oleh pendarahan di bawah kulit. Zaki cuba mengangkat kepalanya, ingin melihat kakinya namun dia tidak bertahan lama, kembali terkulai rebah.
Kau O.K. Zaki tanya Azizi.
Aku rasa pusing dan loya.
Jangan bimbang. Berehatlah, pujuk Azizi.
Azizi, kalau aku mati, tolong serahkan kalung ini pada ibu dan adikku. Alamat rumahku ada dalam diari, pesan Zaki hiba sambil menahan kesakitan.
Jangan mengarutlah. Kau telah diberi suntikan penawar. Kau pasti sembuh, ujar Azizi menteteramkan.
Tolong Azizi, tolong ya... Suara itu tiba-tiba menjadi lemah dan hilang. Zaki pengsan kembali.
Melihat Zaki tidak sedar kembali, Sarjan Sujak memegang leher Zaki. Zaki begitu lemah.
Ayuh! Kita harus bergerak sekarang, perintah Sarjan kepada anak buahnya.
Kenapa dia Sarjan tanya Azizi.
Jangan banyak soal. Ayuh! Angkat usungannya, perintah Sarjan kepada Azizi. Biarpun Azizi tidak puas hati dengan jawapan Sarjan tetapi dia menerima saja. Usangan itu diangkatnya walaupun Dali menawarkan diri untuk menggantikannya. Di hadapan, Yunus sudah mengangkat. Terasa berat sekali bagi Azizi kerana dia mengangkat di belakang. Diatasi semua itu dengan tekad untuk menolong sahabat karibnya.
Senjakala sudah hampir. Sebahagian matahari merah sudah terlindung oleh mega kuning kemerahan. Apabila mega yang melindungi matahari petang itu berlalu, kelihatan jelas bentuk matahari itu. Ketika ini matahari itu kelihatan lebih besar daripada waktu yang lain. Dan seolah-olah lebih dekat cahayanya menyinari puncak banjaran Gunung Rajah. Sembilan batang tubuh membawa usungan itu bergerak di atas puncak tanpa rasa gentar terhadap musuh yang mungkin mengesan mereka. Suasana sudah mula terasa. Mentari merah mulai membenamkan diri di ufuk barat. Kubanah Gunung Rajah sudah dekat biarpun tidak kelihatan.
Apabila isyarat kebenaran masuk diterima, hari sudah benar-benar gelap. Di sana sini kelihatan kerlipan cahaya kunang-kunang berterbangan mengekori gerakan mereka. Mereka meluru bersama usungan, mencari-cari pos rawatan di kubanah itu. Sambil berlari, Azizi bertanya pada seorang perajurit yang berselisih. Perajurit itu menunjukkan pintu besar ke kubanah itu kerana usungan itu sudah pasti sukar untuk menembusi lubang masuk yang agak sempit.
Sarjan Sujak tidak mengikuti usungan itu. Dia terus ke Markas Operasi melapor diri. Azizi diberi kepercayaan untuk memastikan Zaki mendapat rawatan segera daripada doktor kubanah.
Doktor ada tanya Azizi kepada seorang koperal paramedik yang menjaga bilik kecemasan itu. Yazid dan Dali memindahkan Zaki ke katil pemeriksaan.
Ada, dia sedang sembahyang. Kenapa dia tanya paramedik itu sambil segera memeriksa Zaki.
Dia dipatuk ular! jawab Azizi.
Ular, jenis Paramedik itu meletakkan stetoskop pada dada kiri Zaki. Apabila dia tidak mendengar sesuatu, dia menoleh kepada pembantunya yang sedang menggantung cairan normal-saline, Bakar, cepat panggil Kapten Masri. Biar aku pasang drip itu.
Bakar menghilang. Paramedik itu memberi tumbukan keras pada dada kiri Zaki, kemudian dia menekan-nekan pada kawasan tulang dada. Kedua-dua telapak tangannya saling menindih pada hujung pergelangan tangannya dan menekan dada Zaki.
Kenapa Koperal tanya Azizi cemas.
Jantungnya berhenti! Bila dia dipatuk
Kira-kira tujuh jam yang lalu, ujar Azizi.
Tak tahu jenis ularnya tanya Koperal mengulangi.
Tedung senduk, jawab Azizi sambil memandang kepada Dali dan Yazid yang tidak berupaya menyembunyikan rasa cemas mereka.
Ada beri anti-venom globulin Suara Koperal tersendatsendat kerana menekan-nekan dada Zaki.
Sarjan ada beri suntikan penawar ular sejurus dia dipatuk., jelas Azizi, beberapa jam kemudian die sedar selama tidak kurang 15 minit dan kemudian dia jatuh pengsan lagi.
Kapten Dr Masri masuk ke bilik kecemasan bersama perajurit Bakar. Koperal itu menyampaikan ringkasan kes kepada Kapten Masri. Kapten Masri segera memegang dagu Zaki dan ditarik ke belakang. Mulut Zaki dibuka dan kahak yang terkumpul disedut dengan aspirator. Kapten Masri memasukkan tiub endotrakeal dan mulai mengepam belon getah itu. Drip normai-saline selesai dipasang, Kapten Masri menyuntik beberapa vial ubat-ubatan melalui drip itu. Dia kemudian menggantikan Koperal Yahya yang keletihan. Manakala Bakar terus menyelitkan hembusan udara bercampur oksigen di antara pengurutan jantung. Beberapa minit berlalu, peluh mulai merenik di dahi Kapten Masri. Dia meminta pembantunya mengulangi suntikan anti-venum globulin.
Tiada tekanan ..., ujar Koperal Yahya kepada Kapten.
Apa betul mereka dah beri AVG tanya Kapten Masri meminta kepastian.
Katanya, Ketua Platun mereka dah berikan. Waktu saya memeriksa, sudah cardiac arrest. Jelas Koperal Yahya.
Gantikan saya, perintah Kapten kepada Koperal Yahya. Koperal mengambil alih kembali pengepaman itu.
Mana lampu suluh
Itu di atas troli, kata Koperal kepada kapten Masri yang sedang mencari-cari lampu suluh yang tidak ada di tempat biasanya.
Anak matanya tegang dan sudah tak ada respons, ujar Kapten setelah menyuluh mata Zaki yang korneanya kelihatan keruh. Kapten menyuruh Koperal Yahya memberhentikan pengepam jantung. Diletakkan stetoskop pada dada kiri Zaki. Tetapi dia tidak mendengar sebarang denyutan. Yang terdengar di gegendang telinganya hanyalah suara hembusan udara yang dipaksa masuk. Kapten Masri tidak berkata apa-apa. Dia hanya memberi isyarat kepada Bakar untuk berhenti mengepam udara itu.
Kapten Masri memandang kepada ketiga-tiga perajurit muda itu setelah melepaskan stetoskop itu dari telinganya.
Saudara-saudara, Tuhan lebih menyayangi dia dan mengingini dia meninggalkan kita terlebih dahulu. Relakan dia..., kata Kapten Masri setelah melihat ada rasa hiba dan sedih menguasai mereka terutama sekali Azizi.
Dia dah mati, doktor tanya Azizi meminta kepastian sambil dia menggenggam tangan Zaki yang kaku, sejuk dan pucat.
Ya. Sebaik sahaja kapten Masri mengesahkannya, Azizi menjadi longlai dan berlutut. Dia tunduk dan dahinya menyentuh tepi katil pemeriksaan. Tanpa suara tangisan, air mata mulai membasahi kedua-dua belah pipi Azizi. Dali menghampiri dan memegang bahunya. Walaupun tiada kata-kata yang dilafazkan tetapi dia seolah-olah memberitahu sahabatnya itu bahawa Azizi tidak sendirian merasa kehilangan. Segenap anggota Platun T-4334 merasa terharu.
Siapa yang menyimpan penawar ular dalam kotak kecemasan platun tanya Kapten Masri.
Saya, doktor, jawab Yazid.
Mana dia
Ada dalam beg galas saya.
Mari saya periksa penawar itu, Kapten Masri meminta.
Yazid menyerahkan kotak kecemasan itu kepada Kapten Masri. Dikeluarkannya vial penawar yang tertulis multivalent globulin. Ditayang-tayangkan cecair ubat itu pada sinar lampu solar. Dia meneliti lagi dan berkata, Patutlah, penawar ini sudah expired sepuluh tahun yang lalu!
Kapten Masri menunjukkan vial-vial itu kepada Koperal Yahya, Buang saja vial-vial itu dan bekalkan platun mereka dengan penawar ular yang baru.
Sambil memandang wajah Azizi yang terus bersedih, Kapten Masri berkata, Berdirilah. Tangisanmu tidak akan mengubah takdir Ilahi. Dalam hal ini, kau tak sendirian. Setiap anggota TENAMA pasti ada kehilangan orang yang kita kasihi, yang kita sayangi,
Azizi bangun. Matanya merah dan bergenang air. Sewaktu dia menyeka matanya, Kapten Masri melihat tangan Azizi yang melecet, terbungkus dengan sapu tangan.
Mari saya lihat tangan awak.
Tak apa-apa, doktor.
Itu akan jadi septik jika tidak dirawat, nasihat Kapten Masri.
Aduh ...! Terdengar suara kecil dari mulut Azizi apabila Kapten Masri cuba membuka sapu tangan yang telah melekat pada lukanya itu.
Sakit sekejap saja. Tapi jika sudah septik...kau tak mahu kehilangan kedua-dua tangan itu, bukan kata Kapten Masri sengaja menakut-nakutkan.
Setelah memeriksa luka itu, dia menyuruh Koperal Yahya membuat bebatan antibiotik pada kedua-dua tangan Azizi. Dia bangun dan kemudian menghilang dalam terowong itu.
Jenazah Zaki sudah ditutupi dengan kain putih. Bakar, Yazid dan Dali mengangkat Zaki untuk dibawa ke surau bagi disembahyangkan pada keesokan harinya.
Biarpun jenazah Zaki tidak berada di depan matanya, suara Zaki masih berulang di benak Azizi; memintanya mengembalikan barang-barang miliknya kepada ibu dan adiknya di Keyel Lama. Pedih cucian luka di tangannya, bagi Azizi tidak seberapa dengan kesakitan akibat kehilangan seorang sahabat karib. Kesakitan itu akan berakhir tetapi tidak pada kehilangan Zaki.