LALU AKU HIDUP SEBAGAI APA? - 3
Assalamualaikum w.b.t.,

Ke hadapan anakandaku, Muhammad yang dikasihi.

Apa khabar anakanda Semoga anakanda berada dalam keadaan sejahtera hendaknya. Jika benar telahan ayahanda, tarikh 31 Ogos nanti, akan genaplah usia anakanda 18 tahun. Surat ini telah ayahanda titipkan kepada isteri ayahanda, yang juga bunda kamu, untuk kamu hadami isinya apabila kamu mencapai usia tersebut. Sengaja ayahanda meminta agar surat ini dibuka selepas tarikh tersebut, kerana pada usia itu anakanda sudah semakin matang pemikirannya.

Maafkan ayahanda kerana tidak mampu menyampaikan surat ini sendiri kepada kamu. Hal ini kerana, semasa ayahanda mengarang perenggan demi perenggan surat ini, kamu masih lagi berada dalam kandungan bundamu. Ayahanda pula sedang menunggu hari-hari terakhir ayahanda di Hospital Besar Segamat ini setelah didiagnosis mengidap kanser paru-paru peringkat akhir ketika bundamu sedang sarat mengandungkan kamu, anak pertama kami, dan mungkin juga yang terakhir. Sudah pelbagai ikhtiar diusahakan oleh ayahanda, namun takdir Yang Maha Esa mendahului segala-galanya.

Anakanda,

Izinkan ayahanda berpesan kepadamu. Jadilah seorang pemuda yang membanggakan bundamu. Jadilah pemuda yang mampu mengubah masyarakat di sekelilingmu. Tadabburlah ayat 9-26 Surah al-Kahfi [18] yang mengisahkan tentang keberanian pemuda Ashab al-Kahfi, yang tertidur di sebuah gua selama hampir 300 tahun menurut taqwim Masihi atau 309 tahun menurut taqwim Hijri. Ya, memang benar para sarjana Islam berbeza pendapat tentang siapakah sebenarnya mereka itu. Riwayat-riwayat yang sahih dari AlQuran dan As-Sunnah tidak menceritakan tentang mereka secara terperinci.

Namun, fokus al-Quran adalah pada ibrah yang bisa kita teladani daripada keperibadian mereka. Selaklah helaian demi helaian Tafsir Ibn Kathir tentang ayat-ayat ini, nescaya dirimu akan mendapat mutiara yang bernilai di dalamnya. Merekalah para pemuda yang berani menongkah arus masyarakatnya, demi sebuah nilaian iman yang tersemat di dada. Inilah ikon ummah sebenar yang wajar dicontohi oleh anakanda.

Anakanda,

Teringat ayahanda kepada Mantan Presiden Indonesia, Sukarno, yang pernah berpidato. Katanya;

Berikan aku 10 orang pemuda, nescaya kugoncangkan dunia

Para pemuda yang besar jiwanya, tidak akan hanya berjuang untuk dirinya. Dia akan berjuang untuk agamanya, bangsanya dan negaranya. Lihatlah Usamah ibn Zaid yang dilantik untuk menjadi ketua tentera di usia yang masih muda. Adakah dia berjuang hanya demi memenuhi tembolok nafsunya Renungilah sirah Muhammad al-Fateh yang membuka Constantinople dari kerajaan Byzantine. Berduyun-duyun panglima yang gagah perkasa sebelum itu yang cuba menakluki kota tersebut, tetapi sultan yang muda ini yang akhirnya berjaya. Apa pula pandanganmu terhadap Salahuddin al-Ayyubi yang berjaya menawan kembali Jerusalem dalam Perang Salib Bukankah mereka semua itu pemuda yang masih hijau umurnya Merekalah yang mencetuskan inspirasi kepada orang-orang di sekelilingnya untuk menjadi ummah yang kuat dan hebat. Mungkin sebab itulah orang Arab selalu menyebutkan:

Kalaulah waktu muda itu bisa berulang lagi walau hanya sehari

Tidak! Ayahanda tidak meminta dirimu mengangkat senjata untuk berperang seperti mereka. Cukuplah dirimu meneladani ketokohan mereka dalam kehidupanmu. Andainya tokoh-tokoh itu kelihatan terlalu jauh dengan peribadimu, lihatlah tokoh-tokoh lain yang lebih dekat pula. Imam al-Nawawi hanya berusia kira-kira 45 tahun. Tetapi karya-karya yang dihasilkan oleh dirinya terus dibaca hingga ke hari ini. Sirah dirinya bisa kamu telusuri dalam kitab Siyar Alam al-Nubala karya Imam al-Zahabi. Berjutajuta orang mendapat manfaat dari keilmuwan sang pemuda yang diriwayatkan tidak bernikah demi cintanya terhadap ilmu itu.

Ah! Pernahkah kamu mendengar tentang Hamka pula Ya Hamka, tokoh dari Indonesia yang mengarang Kitab Tafsir al-Azhar itu. Beliau itu pantas untuk dikagumi. Semasa mudanya, beliau dikenali sebagai seorang sasterawan. Di akhir usianya beliau dianggap sebagai agamawan. Semasa ayah membaca catatan hidupnya dalam buku KenangKenangan Hidup yang dikarang sebanyak 4 jilid, hati ayahanda berbisik, alangkah baiknya jika anakanda nanti mengikut jejak langkah Hamka, yang menginspirasikan masyarakat melalui tulisan-tulisannya. Ya, berjuang untuk mengubah sesebuah masyarakat tidak semestinya dengan mengangkat senjata. Kita juga boleh berjuang dengan pena.

Anakanda,

Semangat sahaja, tanpa perancangan yang teliti tidak memadai untuk mengemudi bahtera perubahan minda masyarakat. Saidina Ali diriwayatkan pernah berkata:

Kebenaran yang tidak terancang akan dikalahkan oleh kebatilan yang terancang

Sebelum kamu berani bermimpi untuk mengubah masyarakat, kamu perlu berani untuk mengubah dirimu sendiri terlebih dahulu. Allah telah berfirman dalam ayat 11 Surah al-Rad [13];

Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu mengubah nasib dirinya sendiri terlebih dahulu

Imam Al-Qurtubi, pakar tafsir yang terkenal dengan kitab tafsirnya iaitu al-Jami li Ahkam al-Quran ketika mentafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa Allah tidak mengubah nasib suatu kaum kepada keadaan yang buruk, melainkan disebabkan kesilapan kaum itu sendiri. Walaupun pada asalnya ayat ini berkaitan dengan perubahan situasi positif kepada situasi negatif, para ulama juga menggunakannya untuk perubahan dari situasi negatif kepada situasi positif.

Begitulah keadaannya wahai anakanda. Perubahan masyarakat, bergantung kepada perubahan diri kamu terlebih dahulu. Bak tajuk buku karangan Pendita Zaba, Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri.

Anakanda,

Ayahanda rasa cukuplah setakat ini sahaja mutiara kata yang termampu untuk ayahanda coretkan dalam kesempatan yang singkat ini. Walaupun sudah 3 hari 3 malam ayahanda berusaha menghabiskannya, namun gering yang ayahanda alami ini menyukarkan ayahanda menterjemahkan hikmah yang bermain di minda ayahanda ke dalam bentuk tulisan di alam nyata. Ayahanda sebenarnya berharap bahawa ayahanda mampu menyampaikan nasihat ini sendiri ketika anakanda sedang membesar. Ayahanda mahu membisikkan pesan seorang ayah ke telinga anakanda ketika anakanda sedang berbaring di pangkuan. Namun takdir Ilahi lebih berkuasa. Masa amat mencemburui ayahanda.

Ayahanda permisi dulu. Jangan lupa lapkan air mata ibumu saat dia menangis. Sediakan bahumu di saat dia bersedih. Ayahanda tidak mampu menemani kamu berdua meskipun ayahanda berharap dapat berbuat demikian.

Dan akhir kalam,

Jadilah seorang pemuda yang menginspirasikan masyarakatnya.

Ayahanda tinggalkan anakanda dengan bidalan orangorang tua yang tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas;

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama Salam permisi.

Yang benar,

Ayahandamu