DENDAM DARI LISBI - 3
Pentas dibuka. Keadaan pentas masih sama. Suram, disimbahi lampu merah dan terdapat cahaya putih sebagai cahaya bulan dan di tengah-tengah pentas masih ada sebatang palang kayu untuk mengikat pesalah yang bakal menerima hukuman.

ABU INSAN duduk termenung di atas batu. Dia sedang memikirkan sesuatu. Dirinya tidak terurus. Rambutnya kusut-masai. Wajahnya comot walaupun bajunya kelihatan mewah. LISBI masuk ke pentas.

LISBI: (Menepuk belakang ABU INSAN) Apa khabar, kawanku

ABU INSAN: (Berpaling ke arah LISBI) Kau sahabatku. Aku baik-baik sahaja. Apa khabar pula dirimu

LISBI: (Tertawa) Aku baik-baik sahaja. Lupakah kau Aku ini bukankah telah memerdekakan diri

ABU INSAN tersenyum tawar.

LISBI: Jangan bersedih lagi, sahabat. (Menepuk-nepuk belakang ABU INSAN) Kau harus bergembira. Aku dengar, esok pembunuh itu akan dihukum. Lihatlah, undang-undang di pihakmu. Hanya tinggal kau jadikan kematiannya sebagai seksa untuknya. Itu sahaja.

ABU INSAN: Selepas itu apa, sahabat Benarkah aku akan gembira sepertimu Berasa merdeka sepertimu

LISBI: (Wajah berubah menjadi tegas) Mengapa tidak Tidakkah kau lihat Aku ini buktinya. Hutang nyawa, nyawa padahnya!

ABU INSAN hanya diam. Menekur lantai pentas.

LISBI: Sudahlah, sahabat. Kau tidak harus keliru. Aku di sini akan membantumu sedaya mungkin. Aku minta diri dulu. Jumpa lagi nanti.

LISBI berjalan laju-laju. MARIA masuk ke pentas. Di tangan MARIA terdapat mangkuk tingkat. Apabila LISBI berselisih dengan MARIA, LISBI berdiri sahaja di tepi pentas dan memerhatikan ABU INSAN juga MARIA.

ABU INSAN: Tetapi. (Melaung) Apa namamu, kawan (Menginjak-injakkan kaki cuba melihat kelibat LISBI)

MARIA menoleh-noleh ke belakang. LISBI tidak menjawab. Dia cuma memerhatikan ABU INSAN dengan senyuman penuh muslihat. Suasana sunyi. Sepi.

MARIA: (Terpinga-pinga menghampiri ABU INSAN) Dengan siapa abang berbual

ABU INSAN: Adikku Maria. Sejak bila kau tiba Mana suamimu

MARIA: Ada di rumah. Aku bawakan pakaian ini untuk abang. (Menghulur pakaian putih kepada ABU INSAN)

ABU INSAN: Mengapa kau tidak terus ke rumah aku

MARIA: (Terdiam seketika. Serba salah. Mengubah topik perbualan) Aku bawakan pakaian untukmu, abang. Gantikan bajumu yang sudah kotor itu.

ABU INSAN: Bawakan ke rumah saja. Aku tidak kotor.

MARIA: Tapi (Berjeda sebentar) Sudah dua hari abang di sini. Dua hari juga makanan yang kuhantar untuk abang tidak dijamah.

ABU INSAN: Kalau begitu, usah hantar lagi. Aku tidak lapar.

MARIA: (Mengeluh) Baliklah abang. Sampai bila abang mahu duduk di sini

ABU INSAN diam. Tidak menjawab pertanyaan MARIA. ABU INSAN terus termenung dan mulutnya terkumat-kamit.

MARIA: Ramai orang yang bimbangkan abang.

ABU INSAN: Tiada apa yang perlu kalian bimbangkan.

MARIA: Kehidupan abang sudah tidak terurus. Ini yang abang katakan tidak perlu bimbang

ABU INSAN: (Mengherdik) Kau mana tahu apa yang aku rasa Anak-anak kau masih ada. Tiada seorang pun yang mati. Aku ini, sudahlah anak seorang saja, Tuhan ambil pula nyawanya. Apa lagi yang aku ada Kau lihat apa lagi yang aku ada

LISBI berjalan ke tengah pentas, mendekati MARIA dan ABU INSAN.

MARIA: Ada hikmahnya, abang. Tuhan itu sentiasa adil. Kita semua ada bahagiannya masing-masing. Abang kaya dengan harta benda. Abang lihatlah, dengan hidup yang tidak semewah abang, aku mewah anak-anak.

ABU INSAN: (Membentak) Ahh! Adil! Adil

MARIA: Ya, pada aku Tuhan itu sudah cukup adil.

ABU INSAN: Aku tidak nampak itu. Tuhan sengaja mempermainkan aku!

MARIA: Sudah hilang imankah Berani berkata begitu

ABU INSAN: Tuhan selalu begitu.

LISBI: (Tersenyum) Ya. Tuhan selalu begitu!

MARIA menggeleng-gelengkan kepala.

MARIA: Tidak. Tidak. Demi Tuhanku Yang Maha Esa, Dia tidak pernah berlaku tidak adil. Tidak pernah!

ABU INSAN: Kalau Tuhan itu adil, kenapa sahabatku juga dipermain-mainkan

MARIA: Siapa Siapa sahabatmu yang lancang berkata-kata itu (Berpaling dan memandang sekilas ke arah LISBI sebelum kembali memandang ABU INSAN)

ABU INSAN: (Menggaru-garu kepalanya. Bermonolog sendiri) Err Apa namanya (Membentak) Ah! Yang pasti sahabatku itu juga menderita seperti aku! Hanya dia yang memahami aku. Kalian tidak!

MARIA: Jadi, apakah sahabat abang juga mengatakan bahawa Tuhan itu tidak adil

ABU INSAN: Ya! Dialah yang telah menyedarkan aku bahawa Tuhan itu tidak adil!

MARIA: Sahabat abang itu gila agaknya! (Menjeling ke arah LISBI seolah-olah dapat melihat kelibat LISBI)

LISBI tidak senang dengan jelingan MARIA. LISBI mundar-mandir di sekeliling ABU INSAN dan MARIA.

ABU INSAN: (Tersinggung) Jadi (Sederhana membentak) Apakah kau mahu katakan bahawa aku ini juga orang gila

MARIA: Tidak. Aku hanya mahu katakan bahawa abang tidak seharusnya mengikut dia. Sahabatmu yang gila itu. Hanya orang gila yang tidak tahu membezakan yang mana adil yang mana batil. Yang mana Tuhan, yang mana syaitan!

ABU INSAN: Kau tidak layak untuk menyatakan itu. (Bangun menghampiri MARIA dengan keadaan marah) Kau tidak layak! Kerana kau tidak pernah kematian suami. Tidak pernah kematian anak! Mereka! Mereka yang mengata-ngata bahawa aku ini gila pun tidak layak menyatakan itu kepada aku. Mereka tidak pernah kehilangan anak!