MANUKLON - 3
KUBANAH Gunung Rajah akan ditinggalkan meskipun berat bagi mereka rasanya untuk berbuat demikian. Mereka telah berehat selama dua hari setelah jenazah Zaki selamat dikebumikan. Pusara Zaki bernisankan batu gunung yang ditulis dengan cat hitam; Pulang ke rahmatullah pada 25 Februari 2097, Mohd Zaki bin Syahbuddin, gugur semasa menjalankan tugasnya sebagai seorang perajurit TENAMA. Lahir pada tanggal 31 Ogos 2067. Demikian tulisan jawi purba yang tertera di atas nisan Zaki. Azizi terpaksa meminta pertolongan seorang pejuang tua yang tahu tulisan jawi purba. Tampak megah dan berseni, tulisan itu. Di belakang nisan batu gunung itu ditanam anak pokok pine yang banyak terdapat di kawasan Gunung Rajah. Pada mulanya dia ingin menanam tetapi tidak terdapat di kawasan perkuburan itu.

Fikiran Azizi masih di Kubanah Gunung Rajah, masih di pusara sahabat yang ditinggalkan. Di hadapan matanya, dari kejauhan tampak tanah datar yang dipenuhi dengan ratusan rumah kaca yang berpuluh-puluh kilometer panjangnya. Pusat Pertanian Hidroponik Ulu Yam tampak jelas meskipun tanpa menggunakan teropong binokular. Sebahagian rumah kaca itu bertingkat. Cahaya matahari dibalikkan sehingga setiap paras tanaman mendapat sinaran solar yang lebih daripada mencukupi. Zat-zat nutrien dan galian mengalir dalam takungan air yang boleh diputar balik boleh diguna kembali. Kadar karbon dioksida dipertingkat parasnya untuk merangsang pertumbuhan. Pada tanaman yang diperlukan segera hasilnya, tanaman itu akan diberi penyinaran matahari selama 24 jam. Pada siang hari cahaya matahari disimpan dalam sel-sel sola dan apabila malam hari, sel-sel solar mengeluarkan simpanan cahaya matahari untuk 12 jam berikutnya. Aliran air diperbanyak dengan hormon penggalak tumbuh dan hormon penggalak hasil. Masa pertumbuhan dipendekkan antara dua hingga tiga kali dan penghasilan dipertingkat empat hingga lima kali dibandingkan tanaman menggunakan cara tradisional dengan menggunakan baja kimia. Apalagi kalau digunakan benih yang baik, dan hibrid tahan serangga dengan bantuan kejuruteraan genetik. TENAMA tidak pernah menjadikan kompleks ini sebagai sasaran mereka. Kalau mereka mampu menipu pengimbas ultra-violet yang mengawal di sekitar pusat itu, mereka akan dapat mengaut hasil tanaman petani-petani kesayangan Pemerintah Republik. Tetapi jika terjadi sebaliknya, mereka akan hangus terbakar di pagar mega-voltan yang menjerat mereka.

Azizi meneliti diari Zaki. Dalam diari kecil itu terselit foto keluarganya. Mereka kelihatannya bahagia di dalam foto itu. Senyuman dan kegirangan Zaki dan adik-adiknya jelas kelihatan di dalam gambar itu. Ayah dan ibunya pula begitu muda, pasti foto itu diambil beberapa tahun yang lalu. Zaki mungkin berusia 12 tahun ketika itu. Di belakang foto itu tertulis; Ayah, emak, Zaki, Mardianah, Zufri, Risdiah dan Marhakam. Betapa pilunya kerana kebahagiaan keluarga ini dirampas oleh pemerintah Republik. Ayah Zaki kini meringkuk dalam penjara tanpa bicara, ditangkap oleh agen-agen MIA atas tuduhan subversif. Agen-agen MIA ada di mana-mana. Dalam kalangan pekerja, dalam kalangan pelajar, dalam kalangan mahasiswa dan dalam kalangan orang awam. Tidak cukup dengan tali-tali barut yang mereka pelihara, telinga mereka diperpanjang hingga ke rumah-rumah rakyat yang mereka curigai. Radar-radar ultrasonik dipancarkan ke arah rumah, bangunan, gedunggedung pasar raya, surau dan madrasah haram. Gelombanggelombang bunyi itu kemudian dirakam-analisis oleh mega komputer yang memisahkan gelombang-gelombang bunyi itu dan sekaligus mentafsir percakapan yang terakam sama ada percakapan itu merupakan hasutan subversif atau tidak. Jika demikian, tertuduh akan menjalani pemeriksaan fonografi di mana keputusan fonogram itu diselesaikan dengan pola fonogram daripada mega komputer. Dengan teknologi fonografi, suara manusia yang terakam dalam pita suara adalah mempunyai ciri-ciri khas seperti juga pada pemeriksaan pola fonogram yang sama biarpun mereka kembar monozigot.

Hai, terkenangkan siapa tanya suara dari belakangnya, Zaki atau adik perempuannya, sambung Yazid terus duduk di sebelah Azizi.

Ya, kedua-duanya dan keluarga mereka. Dulu mereka ada Zaki, sekarang...bapa mereka hilang entah ke mana. Di bawa agen MIA, ujar Azizi.

Kau tahu di mana mereka tinggal

Tahu. Di Keyel Lama.

Bagaimana nak serahkan barang-barang Zaki tu Kan kau tahu, bukan senang nak masuk Keyel Lama.

Pasti ada jalan, balas Azizi sekadar menenangkan hatinya.

Semua jalan masuk Keyel Lama ditutup, kata Yazid sambil menggaru anak-anak janggutnya yang menggerutu di dagu.

Tentu ada jalan yang selamat.

Bagaimana Sedangkan Komando Kota saja sukar

menembusi sekatan Tentera Republik.

Aku harus cari akal. Menyamar dengan pakaian preman.

Kad kod magnetik kau sudah luput. Pasti lebih dari enam bulan tidak dikemaskini.

Dah lebih sembilan bulan.

Habis, kau fikir barua-barua itu dengan mudah membenarkan kau masuk Sebaik sahaja kau serahkan kad magnetik kau, kau akan ditahan. Mereka ingin tahu ke mana kau menghilang selama enam bulan Kemudian mereka akan mendapati tidak ade rekod transaksi jual beli. Jangan lakukan tindakan yang merosak diri! Boleh mati katak. Buat apa

Pasti ada jalan, ujar Azizi mengulangi keyakinannya.

Jangan kerana memorabilia Zaki ini engkau terperangkap dalam penjara TENREP.

Aku tidak bimbang. Aku kenal seorang pembuat kad yang mahir di Esjay.

Kad palsu...itu lagi besar kesalahannya. Kalau tertangkap, tak terampun oleh Theta Agung.

Dia memang pintar. Dasuki namanya. Dia boleh memasuki Kappa. Aku pernah berada di tempatnya bila kod pasnya diterima oleh sistem Kappa.

Kalau dia boleh memasuki Kappa, dia pasti hebat.

Dasuki memang hebat. Kerjanya bersih, tanpa kesan.

Kalau tak bersih, sudah lama dia diwapkan.

Waktu pelaksanaan Akta Perumahan, keluarga kami diarah menyerahkan rumah banglo di Esjay. Kata mereka, rumah kami tidak selamat didiami. Kami disuruh pindah ke Metropolitan Kela. Tapi Dasuki menolong. Dia kelirukan Kappa sehingga Kappa mengeluarkan perintah menetap kepada ayahku. Jadi kami tidak jadi dipindahkan.

Akta Perumahan itu kan baik untuk masyarakat. Mengurangkan kesesakan lalu lintas. Kalau orang bekerja di metropolitan Kela, rumahnya juga di sekitar kawasan Kela, kan lebih baik. Masa perjalanan pendek. Mengapa pula tinggal di Kela, bekerja di Keyel Baru kan tidak logis dan tak ekonomis.

Itulah yang dicanangkan oleh Pemerintah Republik. Kau pun sudah termakan propaganda pemerintah.

Jadi apa keuntungan mereka Kita tidak perlu mentafsir setiap usaha pemulihan penempatan dikaitkan dengan penindasan pada rakyat peribumi, ujar Yazid membela.

Ah, kau tak tahu. Itu hanya muslihat saja. Rumahrumah penempatan yang baru telah dipasang APD yang tersembunyi dalam struktur binaan rumah-rumah itu. Biarpun kau berbisik-bisik, ADP itu dapat mambaca gerak bibir kau.

Kalau begitu, berbisik dalam selimutlah! kata Yazid melucu.

Kebanyakan orang menganggap rumah mereka mempunyai nilai sentimental. Walaupun sudah usang tapi itu adalah peninggalan nenek moyang mereka. Contohnya, nenek moyang kami tidak meninggalkan gedung perniagaan atau pencakar langit. Yang ada, hanyalah banglo itu. Itu pusaka keluarga kami. Masakan itu juga mahu dirampas daripada kami.

Pemerintah tidak merampas Azizi, cuma menukar dengan yang lain, jelas Yazid.

Menukar tanpa kebenaran pemiliknya, itu merampas namanya, bangkang Azizi agak marah.

Melihat wajah Azizi yang berubah, Yazid tidak meneruskan pembelaannya.

Azizi memasukkan kembali foto itu ke dalam diari. Rantai berloket kepunyaan Zaki, dikalungkan pada lehernya. Sudah 20 minit mereka berehat di vila usang itu. Vila itu barangkali milik Jabatan Perhutanan atau Perhilitan. Hanya dua jabatan itu saja yang mungkin mempunyai kepentingan dalam hutan semacam itu. Lagi pula vila itu dibina 110 tahun yang lalu. Tahun binaannya masih tertera pada anjung vila itu. Bumbung hadapannya telah roboh, tinggal dinding yang penuh dengan pokok-pokok pemanjat. Di lantainya genting-genting pecah berserakan, juga ditutupi tumbuhan hijau yang lebat melata. Pokokpokok pemanjat menjalari di jendela dan memenuhi bahagian dalam rumah itu. Sebahagiannya menjalar di dinding dan bumbung. Pada dinding-dinding kosong yang tidak ditutupi oleh tumbuhan pemanjat itu, coretan slogan pejuang memenuhi setiap ruang yang tercapai oleh tangan. Ia pasti tinggalan dari askar-askar pejuang nasional yang pernah berehat disitu. Selain TENAMA dan PETA, beberapa coretan bekas tangan askar-askar AJIMA. Simbol bulan sabit tanpa bintang melambangkan tekad berjihad dalam perjuangan mereka. Mereka menganggap TENAMA tidak islamik. TENAMA adalah organisasi tentera sekular. Saki-baki fahaman sekular nasionalisme yang bertapak seabad yang lalu, masih merupakan fraksi terbesar dalam perjuangan membebaskan tanahair tercinta.

Walaupun petang itu masih awal, tetapi mereka tidak ingin berlengah. Azizi dan Yazid mulai bangun dan berkumpul bersama rakan-rakan platunnya. Pendakian ke Gunung Hulu Kali akan diteruskan. Mereka berharap dapat sampai sebelum malam tiba. Angin petang agak kuat. Pagar vila kosong itu menghentam tebing besi sebelah pagar yang lain. Pagar yang jatuh itu menghalang pintu masuk ke vila. Bunyi geseran engsel usang tanpa minyak pelincir menyulami bunyi pukulan antara pagar-pagar itu. Terdengar pemberitahuan tentang berakhirnya masa istirahat. Semua anggota platun T-4334 mulai bergerak menuju Kubanah Gunung Hulu Kali.

Kubanah Gunung Hulu Kali ditinggalkan sebelum fajar menyingsing. Keadaan amat menyeksa. Subuh itu amat dingin sekali. Kedinginan pagi itu terasa sampai ke tulang sumsum, menggigit-gigit rasanya. Kedinginan Gunung Hulu Kali pada paras 1772 meter ditambah dingin pagi itu menyebabkan para pejuang muda itu menggelatuk. Walaupun matahari belum terbit tetapi cahaya siang telah mencerahkan langit. Warna langit yang kebiru-biruan tertutup oleh awan yang putih yang bergerak perlahan seolah-olah mengekori pergerakan platun itu.

Misi mereka sudah dua hari terlambat. Kelambatan itu perlu dikejar. Rombongan platun itu akan melalui jalan yang bahaya sekali. Yang paling bahaya ialah apabila mereka melewati Tanah Tinggi Genting. Di situ terdapat suatu kawasan pelancongan yang luas dan terkawal rapi. Sarjan Sujak terpaksa membawa anak-anak buahnya ke Timur dahulu, menjauhi pusat pelancongan itu. Kemudian baru mengambil arah Barat Daya, menuju Kubanah Gunung Nuang.

Apabila mereka turun dari Tanah Tinggi Genting menuju ke Kampung Bukit Tinggi, kelihatan mendung berarak di langit sebelah Selatan. Kecerahan siang tidak sesegar tadi. Walaupun petir tidak kelihatan tetapi cahaya kilat bersabung silih berganti di belakang mendung raksasa itu. Platun Sarjan Sujak, tiada pilihan melainkan menuju ke arah mendung itu. Malah lebih baik bergerak semasa hujan lebat kerana musuh pasti akan mencari tempat berteduh daripada hujan atau mereka biasanya menghentikan rondaan mereka. Itulah masa yang paling selamat bergerak di Kawasan Tentera Republik.

Hujan yang diduga sejak tadi sudah turun. Ketika butiranbutiran hujan yang kasar mengenai muka Azizi, dia terasa perih. Ketika hujan menjadi lebat, dia sudah tidak terasa sakitnya lagi. Azizi dan kawan-kawannya mengenakan kot hujan yang kalis air. Kot itu begitu tebal sehingga terasa haba yang terperangkap di dalamnya. Jarak di antara seorang perajurit dengan yang lain begitu dekat, malah seperti sudah berkumpul. Sarjan tidak pula mengarahkan mereka supaya bergerak sendirian kerana dia tahu hujan lebat begitu akan menyukarkan penglihatan. Dia tidak mahu anak-anak buahnya tersesat dalam hutan itu, dan terpisah daripada platun itu.

Yunus! teriak Sarjan. Di hadapan ada jalan raya. Intip kemudian lapor pada saya, perintah Sarjan Sujak sambil menyuruh platun berhenti menunggu laporan intipan.

Baik encik, sahut Yunus dan segera bergegas menjalankan perintah. Dia menghilang dalam hujan lebat.

Sekiranya Yunus tidak kembali dalam masa lima minit, kau ikut jejaknya tapi lebih berhati-hati, kata Sarjan pada Azizi.

O.K. encik, balas Azizi.

Hujan sebegini lebat, tak mungkin ada bajingan-bajingan itu, ujar Yazid semacam hendak menteteramkan dirinya.

Kau sudah lama jadi pejuang tanya Sarjan tanpa berniat untuk bermegah dengan pengalamannya.

Tidak encik, saya cuma agak.

Dengan Tentera Republik tidak pakai agak-agakan, perlu guna perhitungan. Salah langkah kita termasuk perangkap mereka, kata Sarjan sambil dia mengesat matanya yang terkena tempiasan air hujan. Topinya diubah ke hadapan agar air hujan itu tidak mengaburi penglihatannya.

Kira-kira 100 meter di hadapan kelihatan sesusuk tubuh memberi isyarat untuk mara.

Itu pun Yunus, kata Yazid gembira.

Ayuh Platun, perintah Sarjan.

Anggota-anggota platun bergerak secara taktikal. Bergerak 10 meter kemudian berhenti. Menuju ke arah jalan yang melintang ke hadapan. Mereka sudah sampai di pinggir jalan namun wajah Yunus tidak kelihatan. Tiba-tiba saja, dia menghilang. Sarjan dan Azizi memberanikan diri menyeberangi jalan raya itu, melangkahi landasanlandasan magnetik ke seberang jalan. Ketika sampai di seberang, Azizi menggoyang-goyangkan tangannya. Dali dan lain-lain mengerti bahawa Yunus tidak ada di sebelah sana. Tiba-tiba panahan sinar laser biru mengena dada Sarjan. Azizi sempat merebahkan diri. Panahan sinar laser kedua dapat dielakkan hanya dengan gerak kilat Azizi melepaskan tembakan ke arah datangnya pancaran itu. Runtunan peluru dari AK-47 nya menghentikan sejenak panahan cahaya ke arahnya tetapi serangan laser ke arah Dali dan kawan-kawannya di seberang jalan tidak berhenti. Terdengar suara Razak mengaduh. Dia telah terkena tembakan sinar laser daripada Tentera Republik. Sarjan sudah tidak bergerak lagi. Azizi tidak mempunyai masa untuk melihat apakah Sarjan masih hidup atau tidak. Hanya ada bau daging seperti daging terbakar datang dari tubuh Sarjan.

Azizi melihat Yazid, Farid, Zamri, Daud, Razak dan Dali terjun ke dalam parit di depan jalan itu mencari perlindungan. Razak kelihatan terjun dengan dibantu oleh Dali. Barangkali kakinya saja yang cedera. Mereka membalas tembakan di antara pancaran yang datang ke arah mereka. Wap air hujan mulai menghalang pandangan askar Tentera Republik. Bahang panas tembakan sinar laser mengewapkan air hujan menjadi kepulan-kepulan kabut putih disertai bau daun-daun hijau yang terbakar kerana tembakan sesat sinar laser yang tidak mengenai sasaran.

Kepulan asap itu memberhentikan bunyi tembakan daripada kedua-dua belah pihak. Enam perajurit yang berlindung di dalam parit itu, kini keluar mencari kedudukan yang strategik untuk menguasai medan pertempuran itu. Itulah latihan ketenteraan yang sering mereka lakukan dalam latihan perang di Kubanah Fraser. Melihat bayang-bayang yang bergerak keluar dari parit itu, Azizi dapat mambaca taktik serangan yang akan diatur oleh Yazid. Dia mulai bergerak dengan membongkokbongkok melintasi jalan raya itu. Azizi sudah melihat rakan-rakannya menembusi kepulan asap tebal. Tiba-tiba dia dikejutkan oleh kilau cahaya yang bertalu-talu diikuti pula oleh jeritan ngeri, dan segera menghilang. Azizi pasti mereka telah terkena. Berapa orang yang terkena dia tidak pasti. Tetapi bunyi suara jeritan agak banyak. Azizi melompat parit kecil dan terus merebahkan diri. Tiada lagi terdengar bunyi tembakan daripada kedua-dua belah pihak. Azizi tahu semua rakannya terkena.

Asap putih mulai reda. Asap itu dibawa angin yang datang tiba-tiba. Dari jarak dekat, Azizi melihat tubuh-tubuh perajurit bergelimpangan. Dia ingin segera mendekati tubuh-tubuh itu namun kemudian dia membatalkan niatnya itu. Dia menunggu sambil meniarap di bumi. Kelopak matanya dibuka kecil, dia cuba mengamati kedatangan musuh dari celah-celah batu besar, punca sinar-sinar itu memancar.

Hanya bunyi hujan yang kedengaran. Wap hujan yang tadinya memutih, hilang tanpa kesan. Apabila terdengar bunyi hentakan but di tanah yang berair, mata Azizi mengecil mengawasinya. Dari balik batu-batu besar itu keluar empat tubuh bersenjata. Azizi hanya dapat melihat kaki mereka separas lutut. Kaki-kaki itu menghampiri tubuh-tubuh perajurit yang bergelimpangan.

Sudah mati agaknya. Bersuara seorang yang kakinya menendang-nendang tubuh Yazid. Seorang kawannya yang lain mengalihkan tubuh Dali dengan kaki sahaja. Tersirap darah Azizi. Tetapi dia msih dapat menahan sabar.

Bagaimana mungkin senjata kuno begini boleh menghadapi kita, kata suara yang lain pula. Itu pun kita mengambil masa terlalu lama.

Kau tau berapa harga senjata ini di pasar antik AK-47 dan Uzi ini mungkin berusia lebih seratus tahun, kata suara itu memperkatakan tentang senjata kuno.

Manalah aku tahu mengenai senjata antik ....

Belum pun orang itu habis berkata-kata, Azizi bangun sepantas kilat, melepaskan rentetan peluru ke arah empat Tentera Republik yang sedang merayakan kemenangan mereka. Keempat-empat musuh TENAMA itu terkulai ke bumi akibat muntahan peluru daripada laras AK-47 kepunyaan Azizi. Biarpun mereka tidak bergerak lagi, Azizi terus melepaskan pelurunya sehingga magazinnya kosong. Senapangnya terasa panas membahang kerana memuntahkan butir-butir peluru. Demikian jugalah panasnya hati Azizi.

Dibuangkannya magazin yang kosong dan digantikannya dengan yang baru. Dia meluru ke arah askar-askar Republik sambil mengacu muncung senapangnya ke muka salah seorng askar Republik yang masih bergerak-gerak kerana kekejangan kecil pada otot-otot tangan kiri. Jari telunjuk Azizi menyentuh rapat pelatuk raifal AK-47 nya dan menyumbatkan muncung raifalnya di antara bukaan kecil mulut askar itu. Pelatuk senapang itu dilepaskan menyebabkan kepala askar itu berkecai, darah dan isi otak terpancar ke merata penjuru. Azizi tersentak ke belakang akibat ledakan itu seolah-olah ada bom kecil dalam kepala askar itu. Pakaian seragam Azizi tercemar dengan bercakbercak darah dan isi otak musuhnya. Demikian juga mukanya. Disapu mukanya dengan lengan baju. Matanya menyaksikan tengkorak yang ternganga dengan titisan air hujan yang membuat gelombang bulatan pada darah yang masih mengalir. Dia menoleh ke sisi kanan sambil memejamkan matanya. Tangan kirinya segera menutup mukanya. Sekali lagi matanya menyaksikan wajah ngeri yang berlumuran darah.

Azizi segera mengatasi kekalutan perasaannya dan mulai memeriksa mayat rakan-rakannya. Yazid, Razak, Zamri, Daud, Farid dan Dali, samuanya gugur sebagai pembebas bangsa dan tanah air. Mayat-mayat itu diangkat satu per satu dan dibaringkan berjajar antara satu dengan yang lain. Masing-masing mendakap senjata, teman setia mereka. Mereka akan dikebumikan dalam satu liang. Azizi bangun setelah meletakkan mayat keenam iaitu perajurit Dali. Azizi perlu mencari Yunus. Matanya memerhati kawasan persekitaran tempat pertempuran itu. Dia ternampak sepasang kaki terjuntai dari belakang batu besar, tempat askar-askar Republik itu melancarkan serangan. Dengan hati-hati, Azizi menghampirinya. Mayat Yunus terjerut dengan tali yang masih melilit lehernya. Lidahnya terjelir, matanya terbelalak keluar, dan tubuhnya tidak berbaju. Baju dan topi Yunus itu pasti digunakan oleh Tentera Republik untuk memperdaya Sarjan Sujak. Jenazah Yunus akhirnya diusung ke tempat rakan-rakan seperjuangannya yang terbujur.

Hujan masih belum reda, walaupun tidak selebat tadinya. Azizi melompati parit kecil itu untuk mendapatkan mayat Sarjan di seberang jalan. Seperti mayat-mayat lainnya, baju Sarjan berlubang sebesar lima sentimeter dengan pinggirnya yang hitam hangus. Dipikulnya tubuh Sarjan yang longlai itu dengan kepayahan. Tubuh besar Sarjan itu menyebabkan sukar kakinya melangkah landasan magnetik di jalan raya itu. Tiba-tiba dari kejauhan terdengar bunyi deru EMLEV menghampiri. Sinar lampunya menyinari keredupan siang itu. Kilauan cahayanya menyebabkan tubuh Sarjan terjatuh di atas jalan raya. Bunyi deru yang semakin hampir membuatkan Azizi mengorak langkah meninggalkan mayat Sarjan di tengah jalan. Pasti pasukan bantuan Tentera Republik, fikirnya. Tiada pilihan lain, dia terpaksa meninggalkan tempat itu dan meneruskan perjalanan ke Kubanah Nuang. Walaupun niatnya mahu mengebumikan rakan-rakannya tidak dapat dilaksanakan namun dia tidak menyesali tindakannya itu.

Dia bergegas berlari masuk ke hutan kembali. Keselamatan dirinya lebih utama daripada mengebumikan mayat rakannya itu. Dari dalam hutan, Azizi terdengar bunyi brek EMLEV. Sudah tentu, EMLEV yang kelihatan tadi berhenti di tempat pertempuran. Dia terus berlari tanpa melihat ke belakang.

Azizi tersedar daripada tidurnya. Dia tidak dapat mengingati bila masanya dia telah tertidur. Bangunnya dia, disambut oleh siulan burung-burung. Dia cuba mengingati peristiwa semalam. Tetapi dalam ingatannya yang tergambar dia berlari di hutan. Dia tidak pasti bila dia berhenti atau setidak-tidaknya makan malam. Jam di tangannya meyakinkannya bahawa dia telah tertidur. Dan cerah siang, matahari pagi yang segar menyinar mengejutkannya.

Selepas menyudahkan sarapan pagi yang ringkas, ingatan Azizi kembali pulih. Dia tahu, dia harus ke selatan. Sambil berjalan, dia mengutip tanda-tanda geografis yang lebih meyakinkan kedudukannya. Barangkali, semalam dia berlari melewati hutan-hutan di pinggir Kampung Bukit Tinggi dan Kampung Janda Baik. Dia begitu yakin arah perjalanannya betul. Cerun yang didaki adalah lereng Gunung Nuang. Kubanah yang dituju tentu tidak jauh dari tempat pendakian.

Azizi tidak terkejut apabila tiba-tiba dia diarahkan berhenti. Sebelum dia meletakkan senjatanya, terasa lega bimbangnya. Pakaian seragam TENAMA yang dipakai oleh dua orang pengawal kubanah, membuat dia merasa lebih selesa walaupun muncung raifal mereka mengacu ke arahnya. Setelah surat pengenalan diperiksa, dia diiring masuk ke Kubanah Nuang oleh salah seorang daripada pengawal itu. Kubanah yang dituju masih tiga kilometer perjalanan dari zon buffer. Meskipun Kubanah Nuang tidak melebih 1500 meter dari permukaan laut, pendakian yang mengitari gunung mengambil laluan yang lebih jauh. Pengawal itu menjelaskan perangkap-perangkap maut yang terdapat di sepanjang laluan itu. Azizi cuba menceritakan peristiwa pedih yang dialami namun pengawal itu tidak menunjukkan apa-apa reaksi seolah-olah kejadian itu adalah lumrah alam. Mereka tidak bercakap lagi dan Azizi tidak bercerita lagi apabila dirasakannya ceritanya itu tidak mendapat simpati.

Ketika pengawal itu melaporkan kepada atasannya, Leftenan Halid, barulah Azizi menyedari bahawa pengawal itu sebenarnya telah mendengar ceritanya tadi dengan teliti kalau tidak masakan dia boleh melaporkan secara terperinci apa yang diceritakannya tadi. Hanya kerana mata kanannya juling sehingga apabila dia bercakap di hadapan seseorang, kelihatannya seperti dia melepaskan pandangan ke arah lain. Di hadapan Leftenan Halid pun, dia begitu. Beberapa kali, Leftenan Halid terpaksa berpaling ke belakang, ke arah pandangan pengawal itu padahal tidak ada sesiapa di belakangnya.

Azizi memberi tabik hormat buat kali keduanya kepada Leftenan Halid setelah diperkenalkan oleh pengawal itu. Dan pengawal itu kemudiannya meminta diri untuk kembali ke posnya.

Perajurit Azizi, Platun T-4334-05, melapor diri kepada batalion Infantri ke-10, tuan! Leftenan Halid membalas tabik lagi dengan kemas. Leftenan terus duduk ke kerusinya.

Kami dengar berita pertempuran itu melalui RBC. Menurut mereka kesemua platun kamu mati di tangan Tentera Republik.

Tuhan masih menginginkan saya terus berjuang untuk TENAMA. Tapi saya amat kesal kerana terpaksa meninggalkan tempat pertempuran itu sebelum sempat mengebumikan jenazah mereka.

Menurut RBC, Tentera Republik telah mengabukan mereka.

Ya, Allah! Tidakkah mereka tahu pejuang-pejuang kita beragama islam.

Mereka tidak peduli. Mereka sendiri tidak punya kepercayaan. Pegangan mereka adalah logis dan alam. Ayuh, kita berjumpa OC. Dia memang menanti kedatanganmu. Dia ingin mendengar sendiri cerita daripada kau, kata Leftenan Halid.

Leftenan Halid bangun dan keluar dari pejabat itu, diikuti oleh Azizi dari belakang. Mereka melalui terowongterowong konkrit yang kukuh binaannya. Tidak seperti terowong di PUSLAT, udara di Kubanah Nuang lebih segar dengan ventilasi yang baik. Cahaya matahari dipantulkan secara berantai sehingga menerangi kawasan sepanjang terowong. Leftenan Halid memasukkan sekeping kad magnetik dan kemudian menekan butang-butang pengenalan diri. Pintu keluli itu terbuka, daun pintunya melongsor di celah papan dinding. Setelah Leftenan Halid dan Azizi masuk, kedua-dua daun pintu bertaut kembali memisahkan terowong itu dengan suatu ruang menempatkan seorang perajurit berpangkat kapten sedang menanti. Kedua-dua tentera yang masuk itu memberi tabik hormat. Kapten Yuslam, begitulah tertera namanya pada tanda nama di atas meja tulisnya. Azizi menyedari yang perajurit itu adalah Ajutan Mejar Jeneral Basuki.

Jeneral Basuki sedang menunggu, ujar Kapten Yuslam sebaik-baik sahaja dia membalas tabik Leftenan Halid dan Azizi. Dia bangun dari kerusinya dan menuju ke pintu kayu berukir motif bunga raya dengan daun-daunnya mengelilingi tebing pintu itu. Di tengah-tengah segi empat bujur itu terdapat ukiran motif yang sama, juga bersegi empat seperti ukiran luar. Sebuah lambang TENAMA dengan dua bilah keris bersilang di atas lambang bulan sabit yang kelihatan timbul di tengah-tengah segi empat yang lebih kecil itu. Kilauan varnisnya memberi bayangan kepada sesiapa yang berdiri di depan.

Kapten Yuslam mengetuk pintu itu. Sebelum dia masuk, dia memberi isyarat supaya menunggu dahulu dan menutup pintu itu kembali. Azizi merasa tidak selesa apabila melihat wajahnya yang tidak terurus pada kilauan pintu itu. Dia mencuri-curi mengemaskan rambutnya dengan jarijarinya. Azizi tersentak apabila pintu itu tiba-tiba dibuka.

Jeneral Basuki sudah bersedia, sila masuk, kata Ajutan itu.

Seperti upacara ritual, pertukaran tabik memulakan pertemuan ketenteraan yang lazim.

Perajurit Azizi, Platun T-4334-05 lapor diri, tuu...an! jerit Azizi.

Saudara Azizi, relaks saja, kata Jeneral Basuki sambil mengangkat tangannya, Kapten Yuslam, berikan mereka kerusi, sambungnya lagi. Kapten Yuslam cuba mengambil kerusi tetapi dihalang oleh Leftenan Haslam dan Perajurit Azizi juga mengambil kerusinya dari beberapa kerusi yang tersusun di tepi dinding.

Saudara-saudara duduklah, kata Jeneral Basuki mempersilakan mereka. Dia membetulkan leher bajunya dan memandang tepat kepada Azizi, Saya mendengar berita yang dilaporkan oleh Republic Broadcasting Corporation tentang pertempuran di antara Tentera

Republik dengan TENAMA di Lebuh Raya GentingBentung yang menyebabkan empat anggota mereka mati dan salah seorang daripada mereka telah dibunuh dari jarak dekat dalam keadaan yang ngeri. Sedangkan di pihak TENAMA, kononnya 20 anggota TENAMA telah gugur. Apakah benar berita itu Dan berapa orang anggota TENAMA yang meninggalkan Kubanah Fraser bersama kamu

Berita pertempuran memang benar tuan, tetapi kita kehilangan 8 anggota termasuk Ketua Platun, Sarjan Sujak, jawab Azizi.

Ini memang propaganda RBC. Bukanlah selalunya satu platun bergerak sampai 10 orang tanya Jeneral itu lagi.

Pada mulanya, kami bersepuluh. Dalam perjalanan Perajurit Zaki dipatuk ular dan meninggal di Kubanah Gunung Rajah. Kedua-dua perajurit itu tekun mendengar penerangan Azizi kepada Jeneral Basuki yang kerap kali memicit-micit pangkal batang hidungnya.

Jadi, kamu sekarang tanpa platun lagi tanya Jeneral Basuki.

Saya boleh bergabung dengan platun lain dalam unit yang sama, tuan.

Agak sukar kecuali ada kekosongan dalam platun lain.

Tetapi kita ada rancangan baru untuk kamu.

Rancangan yang macam mana tuan

Keputusan pemeriksaan 10 dan keputusan ketrampilan fizikal kamu semasa menjalani latihan di Kubanah PUSLAT, Kubanah Fraser, cukup memberangsangkan. Dan umur kamu yang masih muda sesuai untuk operasi kami.

Kenapa umur menjadi ukuran, tuan tanya Azizi polos. Leftenan Halid tersenyum melihat kepolosan itu.

Kerana kami ingin menyusupkan kamu ke dalam Kampus ITM dengan menjadi aktivitis di kalangan mahasiswa. Kamu akan menerima arahan-arahan dari semasa ke semasa seperti agen-agen Skuad Komando Kota lainnya.

Maafkan saya tuan, bagaimana mungkin saya dapat menyusup ke Kampus ITM sedangkan kad magnetik saya telah luput.

Itu perkara mudah. Dapat diatur oleh Kolonel Lumping, Pengarah Perisikan, SKK.

Azizi terdiam. Perasaannya bercampur baur. Gembira ada, gundah pun ada. Gembira kerana inilah kesempatannya untuk kembali ke kota, bertemu sanak saudara yang telah lama ditinggalkan, malah juga memberi peluang untuk mengunjungi Keyel Lama dan menyerahkan barangbarang milik Zaki kepada keluarganya. Sedikit gentar kerana setahunya kebanyakan agen SKK yang tertangkap, dihukum mati di hadapan khalayak ramai dan disiarkan secara langsung melalui hologram ke rumah-rumah. Semua rakyat peribumi diharuskan melihat pelaksanaan hukuman itu sebagai amaran keras terhadap mereka yang berniat untuk bekerjasama dengan TENAMA atau menjadi agen SKK.

Mulai sekarang, Azizi tersentak kerana perhatiannya melayang ke arah lain, Kamu akan dikenali sebagai Khairil Marzuki dan nama kod kamu ialah Taming 3. Baca fail ini malam nanti dan besok pukul 0800 Leftenan Halid akan membawa kamu berjumpa dengan Kolonel Lumping, kata Jeneral Basuki tegas.

Baik tuan, balas Azizi sambil berdiri dan menuju ke meja Jeneral Basuki. Dia menghulurkan kedua-dua tangannya lurus ke depan. Sebaik sahaja fail itu diletakkan di atas tangannya, fail itu diapit erat rapat ke pahanya disertai hentakan kaki kanannya yang menggerutup ke lantai kayu.

Ingat perajurit, bila kamu keluar dari bilik saya, nama kamu adalah... jerit Jeneral Basuki.

Khairil tuan!

Khairil apa suara Jeneral agak lantang.

Khairil Marzuki tuan!

Kamu boleh berehat ke kapsul, arah Jeneral Basuki sambil memandang kepada Leftenan Halid. Azizi dan Leftenan Halid segera memberi tabik hormat perpisahan. Sekali lagi bunyi lantai kayu bilik Jeneral Basuki menggertuk dengan hentakan but mereka. Dan mereka menghilang dengan diiringi oleh Ajutan hingga ke pitu keluli.