Aku buntu.
Dia melepaskan dengan hela nafas yang berat. Ada sisa air mata di hujung kelopak. Nuraisya mengerut dahi seakan bertanya mengapa.
Keputusan peperiksaanku untuk subjek Islamic Economy ditandai D oleh Dr Ahmed. Hanya kerana aku selalu menyanggah hujahnya di kuliah Tak rasional langsung! Marahnya berapi.
Kau mahu nasihat, atau kau mahu aku hanya mendengar Lambat-lambat butir perkataan keluar dari mulut Nuraisya.
Keduanya.
Nuraisya memperkemaskan letak duduknya, menghadap dengan benar sekali.
Kau tahu, Imam Ghazali mengatakan sabar adalah ciri khas milik manusia dan tidak dimiliki oleh haiwan atas sifat-sifat kekurangannya, dan tidak pula dimiliki oleh malaikat atas sifat-sifat kesempurnaannya sebagai hamba yang paling taat kepada Allah.
Dari mana kau cedoknya
Ihya Ulumuddin.
Maka, maksud kau, sabar itu sifat istimewa bagi manusia
Ia bukan saja istimewa. Tapi, ia menunjukkan bahawa kau manusia, bukan malaikat atau binatang.
Tajam benar kau menasihati. Dia mencebik bibir sambil memandang ke luar tingkap pustaka itu. Sesekali mengelap sisa air mata dengan hujung jarinya.
Mahu dengar lagi Nuraisya sekadar berbasa-basi meminta perhatian.
Mendengar.
Kau tahu, di kuliah aku tadi, Syaikh Dr Amr el Wardany ada mensyarahkan tentang sabar.
Lalu, apa sabar menurutnya
Kata Syaikh, sabar itu ada 3 pecah, sabar melakukan taat, sabar meninggalkan maksiat dan sabar dengan takdir yang menguji. Aku fikir kau perlu aplikasikan sabar yang ketiga, di samping kau terus juga berjuang untuk nyatakan kebenaran, bukan sabar semberono jika ada yang mahu menindas. Bukankah kau juga sering ulang-ulang kata Soe Hok Gie itu
Kata yang mana Tanyanya kebodohan.
Apa yang lebih puitis selain bicara tentang kebenaran!
Sengaja Nuraisya menekankan sedikit perkataan
kebenaran itu, geram melihat temannya sedikit terpingapinga kebodohan, walhal itulah ungkapan yang sering saja diucap-ucap.
Ada beberapa pasang mata di celah-celah rak buku itu tertoleh ke arah mereka dengan riak wajah memberi amaran untuk diam. Segera Nuraisya tersengih seraya mengangkat tangan, bicara memohon maaf secara bisu.
Jadi, kau mahu aku berjumpa Dr Ahmed dan bicara padanya, bahawa jawapanku walau tidak selari dengannya, adalah jawapan yang layak juga mendapat markah yang sepatutnya
Kau tidak perlu bertanya itu kepadaku. Ya, terserah. Tindakan itu bergantung kepada kau. Tapi, fikiran kau hendaknya perlu bersih dahulu jika kau mahu bicara padanya. Suara Nuraisya kendur semula.
Maksud kau
Beliau guru, kau tetap anak. Walau khilaf sejauh mana pun beliau, menurut pendapat kau, kau perlu ada adab berhadapan dengannya, lagi pula ia melibatkan hal ilmu, bukan perang emosi tak menentu. Itu aku kira jelas.
Dia menarik muka, sekali lagi mencebik bibir, lalu berkata;
Ah! Beliau sendiri kurang adil dalam memberi markah. Masakan jawapanku tidak kena pada fikirannya terus dirasakan salah 100 peratus, sedangkan sedangkan bidang ini masih banyak ruang lingkup perbahasan yang belum selesai, dan jawapanku adalah salah satu perbahasan untuk mengimbangi!
Marahnya kembali datang. Kecamuk fikirannya. Manakan tidak, jika difikir-fikir, masakan dia boleh bergraduasi tahun ini jika subjek tersebut perlu diulang ambil semester hadapan kerana ia subjek istimewa yang secara teknikalnya wajib lulus dengan keputusan minimum B minus. Itu perjanjian fakultinya dengan satu badan pendidikan profesional dalam bidangnya. Bukan itu sahaja punca marahnya, yang lebih besar lagi, adalah keterbukaan seorang guru untuk dikritik dan berbeda pendapat dengan muridnya, itu yang harus dipersoal. Terngiang pula di telinganya catatan Soe Hok Gie yang juga sebal dengan gurunya itu.
Guru yang tak tahan kritik, boleh masuk keranjang sampah. Lagi pun, guru bukan dewa dan selalu benar, murid bukan kerbau.
Monolognya sendirian, mencari hujah menyokong punca marahnya.
Dia memandang sekeliling bagi memastikan suaranya tidak mengganggu. Kelihatan seorang dua pelajar sedang memegang beberapa buah buku di rak-rak itu, ada yang tercangak, mendongak-dongak mencari nombor siri buku di sekitar. Nun di sana pula ada siswa lelaki Melayu sedang membaca, tenggelam dalam dunia sendiri dengan buku What is Wrong with Islamic Economics karya M. Akram Khan. Dia ingat sangat, dia pernah membacanya beberapa bulan lepas. Masakan tidak, dengan hujah Akram Khan lah dia menempeknya dalam jawapan peperiksaannya yang mana berlawanan prinsip itu dengan pensyarah Islamic Economic nya. Matanya berakhir ke Nuraisya, dan dia membuka mulut setelah diam agak lama.
Tidakkah dengan berbeza pendapat akan mengembangkan lagi idea fikiran Bukankah kerana pandangan dan kritikan Aristotle pada teori Plato, sang gurunya itu, tentang idea, telah memunculkan satu pemikiran baru dan pengembangan sains Nah! Itu menunjukkan bahawa perbezaan pendapat membawa kepada pengembangan ilmu! Dr Ahmed tidak berhak menentukan apa yang benar dan apa yang salah di waktu perbahasan dalam bidang ini masih menjadi tanda tanya. Aku cuma mahu mewujudkan budaya kritis ilmu, yang seringkali kita sudah lupakan dalam kuliah-kuliah kita!
Marahnya makin berapi, mencerlang matanya merenung Nuraisya di hadapan.
Inilah yang aku risaukan.
Apa Lekas sungguh dia bertanya.
Juang kau itu bernada salah. Kau ingin bertindak dengan jalan yang tidak patut, walaupun niat kau benar.
Sebentar tadi kau suruh aku tidak harus diam. Kemudian kau katakan tindakan aku salah pula. Dia menyimpul kata-kata Nuraisya dari awal. Meminta penjelasan.
Benar. Aku tidak suruh kau diam dan kononnya bersabar menerima takdir, bahawa kau tidak mungkin bergraduasi tahun ini. Tapi, aku juga tidak minta kau tegakkan kebenaran dengan jalan marah dan tiada adab. Itu jelas aku kira. Dan nada kau sebentar tadi penuh rasa ego di dada. Nuraisya kelihatan serius, kemudian menyambung lagi;
Amat kontradik bagi seseorang yang mencintai kebenaran tetapi bersikap seolah-olah membenci jalan yang membawa kepada kebenaran itu sendiri. Di mana sikap kau Nuraisya sedikit menyindir.
Jadi, sikap aku yang keras selama ini salah Aku berusaha menelaah semata-mata untuk melawan kesalahfahaman dalam bidang aku. Bukankah itu satu bukti kecintaan
Nah! Jika selama ini kau menelaah kerana mahu melawan dengan rasa emosi yang meluap-luap, aku fikir kau sudah jauh dari tujuan pendidikan itu sendiri. Kerana itu, kita umat yang telah kehilangan adab pada disiplin ilmu dan guru. Kita menelaah bukan untuk melawan, tapi untuk tahu, faham dan fikir penyelesaian. Nuraisya bersuara halus dengan pernyataan yang agak tegas.
Lalu, menurut kau apa tujuan pendidikan, kalau aku dihalang untuk melawan Dia bertanya untuk sekadar memancing angin Nuraisya, kemudian bersuara lagi;
Apa yang diajar oleh pensyarah-pensyarah dan guru-guru sekolah tidaklah semuanya harus ditelan sahaja, melainkan perlu disaring, ditapis berkali-kali. Lagi pula, pada zaman sekarang, ilmu sudah pun bercampur dengan segala macam pengaruh ideologi dan tamadun, sudah tidak tulen lagi. Sistem pendidikan kita sudah bobrok tahu.
Tidak ada pun halangan untuk kau dan guru kau berbeza pendapat.
Jadi Dia segera memintas dan tersenyum mengejek, seakan rasa menang.
Namun, perlu diperhatikan bahawa telaah kita bukan untuk melawan tidak tentu hala. Itu beda! Ya! Aku setuju saja bahawa tidak semuanya kita harus serap semberono. Kerana tujuan pendidikan itu sendiri adalah untuk memastikan perkembangan fizikal insan bertumbuh dengan baik, di samping pertumbuhan intelek juga dimasukkan ke dalamnya. Lagi pula, perkembangan intelek itu kita peroleh dari pemupukan sifat berfikir. Akal itu, menurut Hamka seperti yang disebut dalam Tasawuf Moden, perlu bekerja keras untuk menentukan kebaikan dan keburukan atau keadilan dan kezaliman. Al-Quran juga menjelaskan hal yang sama. Masakan kau lupa kuliah tafsir yang kita hadiri bulan lepas Kata ustaz, konsep yaqilun, yatafakkarun dan yatadabbarun memperlihatkan kepada kita bahawa Islam menekankan aktiviti berfikir, berfikir secara mendalam dan berfikir untuk meraih kebenaran tentang Pencipta. Nuraisya senyum, berhenti sejenak cuba-cuba melihat reaksi dia, menghela nafas dan kembali bersuara;
Dan tujuan pendidikan yang ketiga menurut Islam adalah untuk pembangunan spiritual insan, meliputi dimensi keimanan dan fitrah manusia. Keduanya berkait rapat dalam penyerahan diri kepada Tuhan, meyakini dan merealitikannya melalui akhlak yang baik. Ketiga-tiga tujuan yang aku sebutkan tadi akhirnya akan membawa kita kepada tujuan yang paling utama aku kira, iaitu memastikan pertumbuhan dan perkembangan peribadi yang seimbang. Seperti yang Al-Attas sebutkan, tujuan pendidikan adalah untuk melahirkan insan yang baik, di mana semua potensi seseorang dibangunkan secara seimbang dan dibentuk untuk menjadi bukan sahaja khalifah, tetapi juga berjiwa hamba!
Nuraisya mengembalikan paku buah kerasnya. Pada Nuraisya, seseorang yang berilmu itu lembut peribadinya dan molek sifatnya kerana ilmu itu sendiri bersifat menyuluh kepada jalan kebenaran. Jika benar seseorang itu mengaku berilmu, maka rasionalnya ia akan menterjemahkannya dalam bentuk peribadi diri seseorang itu. Dan melawan membabi buta dengan tiada adab, semestinya bukan cara kita.
Dia termangu, berfikir-fikir dan mengerut dahinya. Matanya kadang mencerun ke arah Nuraisya.
Maka, menurut kau, bagaimana aku bersikap selama ini Suaranya mengendur, rasa kalah barangkali.
Aku bukan siapa-siapa untuk menghakimi sikap kau. Jika apa yang aku katakan sebentar tadi buat kau rasa terpukul, semestinya kau sendiri telah tahu bagaimana kau bersikap dengan guru kau. Nuraisya menjawab halus, mendatar.
Dia diam. Bungkam. Sikapnya yang selama ini terburuburu melawan, berhujah dengan sebebasnya, egonya tinggi kadang-kadang menghujam pendapat gurunya. Sampaikan, seringkali dia mempamerkan sikap yang tidak-tidak terhadap Dr Ahmed, bukan sikap seorang murid pastinya. Bukan itu sahaja, selalu juga dia mengejek-ejek sarjana lain yang tidak sependapat.
Ah! Kata Nuraisya sangat menyentap, mencerah fikrahnya, bahawa apa yang ditelaah selama ini tidak menjadikannya seorang yang berbudi dan berjiwa hamba, jauh sekali layak untuk menjadi pemimpin.
Kita anak muda, mudah saja terpengaruh, cepat terkagum pada sikap Barat yang mahu rasa lepas bebas memberi pendapat. Jika mereka membaca untuk melawan, kita membaca dengan nama Tuhan. Itu beda. Nuraisya seraya memujuk. Dia masih diam.
Tenang. Telaah. Nuraisya menoktahkan.