Tidakkah abang fikir bahawa aku layak memiliki suami yang penyayang dan selalu menjagaku juga dipanjangkan umurnya kerana aku tidak memiliki kesempatan itu sewaktu kecil dahulu
LISBI kelihatan tidak puas hati. Dia berlegar-legar di sekeliling ABU INSAN dan MARIA dengan penuh gelisah. LISBI ingin menghampiri MARIA tetapi tidak berjaya seolah-olah MARIA dilindungi oleh sesuatu. Kemudian LISBI menghampiri ABU INSAN dengan raut wajah yang memperlihatkan pelbagai fikiran sedang bermain dalam dirinya.
LISBI: (Berbisik) Kau telah menanggung hidupnya sejak kecil. Seharusnya cukup wang dan emas yang kau berikan untuknya. Dia benar-benar tidak menghargai jasamu!
ABU INSAN: (Membentak) Tidakkah cukup jagaan aku terhadapmu adik Segala-galanya telah aku korbankan untuk memberikan kau kehidupan.
MARIA: Jagaan dengan wang dan emasmu tidak cukup abang! Apa abang fikir aku mahukan harta dan kemewahan untuk aku gadaikan rasa inginkan perhatian keluarga Tidak abang! Bukan itu yang aku mahukan!
ABU INSAN: Aku bekerja siang dan malam untuk kau. Untuk kau menjadi dewasa tanpa rasa kekurangan kerana tiada ibu dan bapa.
MARIA: Tidak. Tidak. Duit tidak pernah dapat memberikan kasih sayang yang sempurna. Kerana itu, kerana kematian ibu dan bapa, kerana pengorbanan abang mencari harta benda untuk memewahkan aku itulah, aku makin berasa terpinggir. Tidakkah abang melihat bahawa kehadiran suamiku itu suatu rahmat Tidakkah kau dapat melihat bahawa Tuhan memang adil kerana dia kini memberikan aku nikmat kasih sayang dan dengan kehadiran puteriku, kasih sayang lebih mewarnai makna hidupku Ini bahagianku, abang. Ini bahagian kegembiraanku dari Tuhan. Kau sudah cukup bergembira dengan kekayaanmu. Tetapi aku tidak mendapat bahagian itu daripada hartamu itu. Adil bukan
LISBI tertegun mendengar hujahan MARIA. ABU INSAN juga terpaku seketika dan seketika kemudian, dia mulai berfikir. LISBI makin gelisah melihat keadaan ABU INSAN.
LISBI: (Menghampiri ABU INSAN) Mana adilnya kalau anakmu mati dibunuh Bukan mati yang biasa seperti ibu dan bapamu. Bukan mati seperti manusia yang seharusnya mati dengan cara yang paling biasa.
ABU INSAN mengangguk-angguk. LISBI tersenyum kerana melihat anggukan ABU INSAN.
ABU INSAN: (Merintih) Anakku mati dibunuh. Adil katamu Kenapa tidak dia mati seperti biasa
MARIA: Mati apa yang seperti biasa, abang
ABU INSAN: Mati seperti biasa. Seperti ibu dan bapa. Mati dibunuh, mati yang lebih sakit. Mati dibunuh bukan mati yang seperti biasa.
MARIA: Apa abang fikir mati seperti biasa itu tidak sakit Mati dibunuh itu lebih sakit Apa yang abang tahu tentang mati Apa abang mampu menerima bahawa mati seperti biasa itu sebenarnya sama sakitnya dengan mati dengan cara apa sekalipun Dan dapatkah abang menerima kata-kataku bahawa mati dengan cara apa-apapun, meski dengan kematian yang penuh kehambaan yang taat, tetap sakit Abang tidak akan dapat menerima bukan Kerana abang tak pernah merasainya. Maka, abang ternyata tidak layak untuk bercerita tentang rasa kematian itu.
ABU INSAN: (Senyum sinis) Seperti kau pula layak menceritakannya.
MARIA tersenyum seolah-olah sedang menyimpan suatu rahsia. MARIA duduk di sisi ABU INSAN.
MARIA: Abang. (Memaut lengan ABU INSAN) Abang yang telah banyak berjasa kepadaku. Yang telah banyak berkorban untukku. Kematian anakmu telah mendapat pengadilan.
ABU INSAN: Aku tahu. Esok hukumannya akan dilaksanakan. Aku mahu melihat kematian yang penuh seksa. Aku mahu lihat itu pada wajah si pembunuh laknat itu!
MARIA: Apakah itu yang akan menyenangkan hatimu, abang Apakah kau akan gembira selepas itu abang
ABU INSAN berfikir. LISBI cepat-cepat duduk di sisi ABU INSAN. Wajah LISBI bimbang sekali seolah-olah dia akan kehilangan sesuatu.
LISBI: Katakan bahawa kau sememangnya akan tenang jika dapat melihat penyeksaan itu.
ABU INSAN: Ya. Aku akan gembira. Bahkan aku akan tenang selepasnya.
MARIA: (Menjeling tajam ke arah LISBI. Kemudian tersenyum sinis) Abang pasti
ABU INSAN: Ya.
MARIA: Bagaimana abang terlalu pasti untuk itu
ABU INSAN: (Tergagap) Aku Aku Aku pasti. Begitu sahaja. Tidak ada yang sukar untuk pasti.
MARIA: (Menggeleng-geleng) Abang tidak pasti bukan Kerana itu bukan kata hatimu, abang. Aku kenal abang. Abang, meskipun sibuk mencari kemewahan, kemewahan hanya luaran tetapi dalam hati abang adalah kasih sayang untukku. Cuma kemewahan itu disangka abang sebagai bentuk paling bagus untuk mempamerkan kasih sayang. Sebab itu aku, walaupun berasa dipinggirkan, aku faham tujuan hati abang. Sebab itu juga aku tidak pernah merungut tentangnya. Seperti juga sekarang.
ABU INSAN: Apa maksud kau, adikku Apa yang seperti sekarang Apa yang kau fahami tentang hatiku ini Hati aku ini terlalu menderita. Terlalu menderita di dalam.
MARIA: Sekarang, kepastian abang itu, dan penderitaan abang itu, bukan asalnya dari hati dan jiwa sendiri. Aku tahu, kau tidak pasti bahawa kau akan tenang setelah penyeksaan yang ingin kau lihat, dilaksanakan terhadap si pembunuh itu. Aku tahu, ada sesuatu yang mengganggu fikiran dan jiwamu. (Menjeling ke arah LISBI)
LISBI: (Memarahi MARIA kerana tidak senang dijeling oleh MARIA) Siapa kau sebenarnya
MARIA tidak menjawab soalan LISBI. LISBI bingkas dari duduknya dan cuba untuk menghampiri MARIA untuk memukul MARIA tetapi seperti ada suatu kuasa yang menahan pergerakannya.
LISBI: Aku tahu siapa kau. (Berundur) Aku sudah tahu. Tetapi jangan kau fikir aku akan berputus asa. Ini sumpah keturunanku! (Mengundurkan langkah dan kemudian berpaling lalu melarikan diri ke luar pentas)
MARIA tersenyum sinis melihat LISBI yang melarikan diri daripada tempat itu. ABU INSAN masih berfikir-fikir.
MARIA: Abang harus pulang. Fikir sebaiknya. Pulanglah ke rumah dan carilah Tuhan seperti biasa abang lakukan. Aku harus pulang juga ke rumahku. (Bingkas) Waktu sudah terlalu tipis.
ABU INSAN: Pulanglah dahulu. Aku akan pulang sebentar lagi kalau aku mahu.
MARIA: Pulang abang. Jangan tidak pulang sementara masih ada waktu. Aku undur diri dulu abang. Maafkan segala silapku. Dan silapmu telah aku maafkan. Aku jumpa abang esok kalau masih berkesempatan ya.
ABU INSAN membiarkan MARIA dan asyik termenung lagi. MARIA meletakkan baju putih di sisi ABU INSAN lalu berundur dari tempat duduk ABU INSAN dengan wajah yang sayu. Kemudian dengan perlahan-lahan, MARIA keluar dari pentas. ABU INSAN tersentuh baju putih pemberian MARIA.
ABU INSAN: (Berpaling ke belakang mencari MARIA) Teri (Berjeda apabila melihat kelibat MARIA sudah tiada) Terima kasih untuk baju ini, adikku. Aku akan pakai baju ini esok. Esok hari penentuan keadilan.
ABU INSAN terus berada di pentas. Kembali termenung.
Pentas digelapkan.