DENDAM DARI LISBI - 5
Pentas dibuka dengan latar cahaya merah dan suram. Terdapat cahaya kuning yang menyuluh di bahagian tengah pentas. Ramai orang berkumpul di atas pentas menunggu sesuatu. Mereka memakai baju putih, hitam, dan merah. ABU INSAN mundar-mandir di tengah-tengah orang ramai dan kelihatan gelisah. LISBI masuk ke pentas menghampiri ABU INSAN.

LISBI: Sahabatku sahabatku Apa khabar (Menepuk-nepuk belakang ABU INSAN)

ABU INSAN: Aku tidak sabar lagi. Tidak sabar meminta Tuan Hakim menjatuhkan hukuman mengikut kemahuanku. Kata mereka, aku boleh memilih hukuman jenis apa yang aku mahu laksanakan terhadap pembunuh durjana itu. (Mengepal-ngepal tangan dan tersenyum puas)

LISBI: Pilih yang paling menyeksakan. (Gelak kecil)

ABU INSAN: Itu sudah pasti. Sudah pasti. Aku tidak akan membiarkan pembunuh itu menjalani hukuman mati tanpa merasakan seksaan daripadaku.

LISBI: Sudah kau fikirkan hukumannya

ABU INSAN: Sudah. Sudah. Aku mahu kulitnya disiat-siat. Matanya dicungkil. Tangannya dipotong dan kakinya dikelar. Tubuhnya disebat. Aku yang mahu menyebatnya. Sampai aku puas, maka bawalah dia ke tali gantung. (Gelak)

LISBI: Belum cukup. Belum cukup, sahabatku. Fikirkan sesuatu yang lebih kejam. Maksud aku, lebih setimpal. Ingat, tali gantung itu tidak pernah cukup meletakkan insaf di hati manusia. Biar manusia di sekeliling kita ini juga mendapat pengajarannya.

ABU INSAN: Apa dia Apa yang lebih kejam daripada itu

LISBI mengenjut bahu. ABU INSAN memandang LISBI dengan terpinga-pinga.

LISBI: Fikirlah dahulu. Sementara itu, aku mahu ke sana. Mahu meminta orang-orang itu menyokong apa-apa sahaja permintaanmu dengan Tuan Hakim nanti. Itu janjiku untuk membantumu, bukan

ABU INSAN: Ya. Ya. Biar aku fikirkan dahulu. Terima kasih kerana sudi membantuku.

LISBI tersenyum. Mengangkat tangannya. Dan berjalan ke kelompok manusia yang ramai. Kelompok tersebut mula bergerak perlahan-lahan ke tepi pentas. Kemudian LISBI berbisik-bisik di telinga mereka. MARIA masuk ke pentas lalu menghampiri ABU INSAN. LISBI tidak menyedari kehadiran MARIA.

MARIA: Abang. Sejahteralah ke atasmu, abangku.

ABU INSAN: Maria. Maria adikku. (Menggenggam tangan MARIA dengan gembira) Hari ini hari pembalasan. Si pembunuh akan mendapat pembalasan. Dendamku akan terbayar.

MARIA: (Menggeleng) Abang. Aku selalu fikir, kau tidak akan memilih taraf lebih rendah daripada akalmu dan imanmu.

ABU INSAN: Apa maksudmu Ah! Ah, sudahlah! Sejak anakku mati, tiada pernah kau tunjukkan rasa simpati atau memahami hatiku.

MARIA: Aku mengerti, abang. Tetapi, kau harus tahu juga mana letak taraf manusiamu. Adakah mahu kau sama rendahkan maruah itu dengan si pesalah atau kau akan menjadi semulia insan untuk memaafkan dan membiarkan segala hukuman itu dilaksanakan dengan perbicaraan yang adil tanpa dendam yang membusuk.

ABU INSAN: (Membentak) Apa kau fikir si pendosa itu akan insaf dengan kemaafanku semata-mata Tali gantung itu tidak cukup. Tidak akan cukup. Dia tidak akan insaf. Manusia tidak akan insaf.

MARIA: Dia mungkin tidak insaf. Tetapi, cukuplah dengan hukuman dasarnya yang biasa ditetapkan Tuan Hakim. Dia akan mati juga dengan hukuman itu. Tidak perlu abang menjatuhkan hukuman sendiri. Apa yang abang akan perolehi Apa yang abang mahu sebenarnya

ABU INSAN buat-buat tidak mendengar kata-kata MARIA. ABU INSAN mundar-mandir seolah-olah MARIA tidak ada di sisinya. MARIA hanya memandang ABU INSAN dengan pandangan simpati. FAYSAL masuk ke pentas dan menghampiri ABU INSAN dan menghulur tangan untuk bersalaman.

ABU INSAN: Ah, Faysal! (Menyambut salam FAYSAL) Akhirnya aku lihat wajahmu. Maria datang kepadaku kelmarin. Katanya kau di rumah ya Hari ini dia marah lagi padaku.

FAYSAL: Abang (Kata-kata terputus oleh pengumuman PEGAWAI PELAKSANA)

PEGAWAI PELAKSANA: Ketibaan Tuan Hakim yang adil lagi saksama!

Para hadirin berdiri tegak. TUAN HAKIM masuk ke pentas dengan baju putih dan berselempang merah. Para hadirin menunduk sebagai tanda hormat. TUAN HAKIM mengangkat tangan dan para hadirin bangun dari tundukan mereka. TUAN HAKIM berdiri di tengah-tengah pentas.

PEGAWAI HUKUMAN: Mohon pesalah dibawa!

PEMBUNUH dibawa masuk dengan kaki dan tangan yang dirantai. Dia kelihatan comot dan sudah tidak terdaya berjalan. PEMBUNUH itu diletakkan di tengah-tengah pentas dan diikat pada palang kayu.

TUAN HAKIM: Si pesalah dihadapkan ke muka pengadilan atas jenayah membunuh seorang gadis. Mohon bapa gadis tersebut tampil ke depan. Tuan Abu Insan!

ABU INSAN tampil menghampiri TUAN HAKIM dan berdiri di hadapan TUAN HAKIM.

TUAN HAKIM: Saya telah mendengar pemohonan tuan. Tuan ingin memilih sendiri jenis hukuman yang bakal dijalankan ke atas pesalah. Benar

ABU INSAN: Benar tuan.

TUAN HAKIM: Apa jenis hukuman yang tuan inginkan

LISBI: Hutang darah dibayar darah!

ORANG RAMAI: Ya, darah dibayar darah!

Keadaan menjadi bingit dengan suara ORANG RAMAI yang seakan mahu merusuh. PEGAWAI HUKUMAN mengangkat tangan mengisyaratkan agar ORANG RAMAI bertenang.

ABU INSAN: Ya, tuan. Hutang darah dibayar darah. Sengsara harus dibayar sengsara.

TUAN HAKIM: Kalau boleh, saya ingin tuan perjelaskan keinginan tuan dengan lebih terang dan mudah difahami. Lebih khusus lebih bagus.

ABU INSAN: Aku ingin Aku ingin (Mula serba salah)

TUAN HAKIM: Katakan sahaja, tuan.

MARIA pantas menghampiri ABU INSAN dan TUAN HAKIM lalu memotong percakapan ABU INSAN. LISBI mula menyedari akan kehadiran MARIA.

MARIA: (Memaut lengan ABU INSAN) Hukuman yang biasanya itu masih munasabah, abang. Abang fikir, anakmu akan bangga dengan pembalasan dendam ini Cubalah kau ingat kembali bagaimana anakmu itu cukup mengasihani sifatnya. Apakah dia mahu bapanya berkelakuan keras begini

ABU INSAN diam. Berfikir. LISBI menyusup ke belakang ORANG RAMAI dan menghampiri ABU INSAN dan MARIA.

LISBI: Jangan percayakan adikmu. Dia tidak merasai kesengsaraan ini. Aku dan kau sahaja yang merasainya. Ingat. Aku telah merdekakan diriku sendiri. Kau juga harus merdekakan dirimu.

MARIA: Apa erti merdeka Merdekakah jiwamu, abang jika kau bakal menanggung peristiwa penyeksaanmu terhadap orang lain sepanjang hidupmu Apa anakmu akan fikir jika dia masih hidup Fikir dan pilihlah sebaiknya abang. Dendam tidak pernah memerdekakan manusia, abang! Tidak pernah!

LISBI: Dendam memang tidak pernah memerdekakan manusia. Maka, kau harus melepaskannya. Kau harus lepaskan dendam itu. Lihat si pesalah itu. Lihat. Tidakkah kau mahu melepaskan segala dendam untuk anakmu Lepaskan ke atasnya, sahabat!