rakus duniawi memperdaya
dan aku terpedaya
membuatkan aku lupa pada hakikat
maknawi cinta
kerana hatiku yang tak pernah
kenal rupa.
Berlari tenggang lalu
setelah sebati tenggelam dalam
pentingnya dunia dan gelojoh nafsu buta
tiba saat tunduk melutut
menekur pada jernih keinsafan
menyelongkar persembunyian lalai
dan menghambat alpa
setelah bertahun lalu berpeluh lelah
pada jerih mengejar keduniaan.
Setelah tenggang lalu berlari pergi
saat ini tiba
membelai rindu pada al-Quran
dan sejadah
mengharap agar tak lagi tergelincir
ke dalam jurang cinta yang murah!
Dewan Siswa
-----
MANIPULASI BAHASA YANG FUNGSIONAL
Sering kali saya menemui kelemahan bahasa yang ketara pada
pengarang muda. Saya kira hal ini sesuatu yang tidak dapat
dimaafkan jika dibandingkan dengan kelemahan struktur atau
gaya penulisan.
Antara kelemahan yang amat gawat adalah untuk menguasai
manipulasi bahasa yang fungsional. Manipulasi bahasa yang
fungsional bermaksud tiada pemaksaan dalam menyampaikan
mesej, meskipun ada yang main-main dalam menyuguhkan
pemikiran tetapi masih tidak menjadi sungguh-sungguh. Hal
seperti ini tidak dapat saya berikan contoh melainkan jika anda
memang banyak membaca, antara lain anda akan menemui
keistimewaan seperti hal ini dalam puisi-puisi Dr. Siti Zainon Ismail.
Oleh sebab itulah saya menyarankan berkali-kali kepada anda
yang serius untuk memulai karier penulisan, supaya jangan jeran
atau letih membaca, khususnya hasil karya pengarang terkenal.
Malah jika ada kemampuan, elok juga diteliti karya-karya sastera
yang mantap dari dunia luar.
Ambil sahaja puisi Membelai Rindu pada al-Quran dan Sejadah,
karya Sayidah Muizzah Kamarul Shukri dari Kuala Terengganu.
Terasa pemaksaan untuk menerima inti ajaran Islam iaitu
al-Quran dan sunnah sehingga seakan-akan ada retorik yang keras.
Manipulasi bahasa oleh Sayidah Muizzah agak kemas.
Perhatikan sahaja permainan penggunaan kalimat tenggang.
Pada perenggan pertama ada tenggang waktu lalu. Pada
perenggan kedua, ada berlari tenggang lalu, dan pada permulaan
perenggan ketiga, setelah tenggang lalu berlari pergi.
Faisal Tehrani