LALU AKU HIDUP SEBAGAI APA? - 6
Pada kebanyakan karangan falsafah, tidak ramai yang ikut meraikan khalayak awam untuk menempatkan mereka pada pemahaman yang tinggi melalui kaedah yang ammi (kebanyakan).

Kaedah kebanyakan yang dimaksudkan ialah lisan yang diungkapkan dalam rutin sehari-hari masyarakat, diucapkan, mampu dicerna dengan bersambil-sambil, kemudian difahami, lalu dapat beramal pula dengannya. Manakala, pemahaman yang tinggi tentulah bersamanya persoalan falsafah, hakikat dan hikmah yang telah diatur di segala lapangan kejadian yang di sekeliling alam dan kehidupan.

Kesemua ini, tidak terkecuali, terlingkung dalam sumbangan seorang Hamka, sebagai seorang ahli falsafah yang merakyat, yang membumikan falsafah secara tinggi kepada ammi.

Alam Terkembang Jadikan Guru

Beliau lahir di Sungai Batang, Maninjau. Terletak di tengahtengah kelikatan budaya dan falsafah Alam Minangkabau. Pengenalannya terhadap warisan leluhur seperti perbilangan, kias ibarat, khususnya tambo (sebuah prosa sastera lisan yang mengandungi nilai sejarah, pendidikan, undang-undang dan falsafah hidup) adalah suatu hal yang lazim kepada masyarakat di Minangkabau sepertinya.

Seperti halnya dengan ungkapan Alam Terkembang Jadikan Guru, pepatah ini hanya merupakan kata-kata purba yang ditemui dalam tambo, dilihat sebagai tidaklah lain, hanya kata-kata tua Melayu untuk menghimbau semangat berbudaya dan berpusaka. Ia akan berterusan menjadi kata-kata biasa jika tidak dihadam atau dilintasi dengan penuh penghayatan.

Berbeza dengan Buya Hamka, beliau dengan jelas; pertama, berinteraksi dengan alamnya, berdendang dengan puisi bangsanya, tambo sebuah pusaka yang menyelip kata-kata bernisbahkan alam, lalu mendirikan jati dirinya yang kekal ampuh.

Alam, sebuah daripada tanda-tanda besar yang membuktikan akan kebesaran Allah s.w.t, disebaliknya ada pelajaran, hikmah, falsafah dan kebijaksanaan yang mahu dikurniakan oleh pemilikNya kepada sesiapa yang dikehendaki. Alam ialah ayat, ayah (bacaan Arab) yang mengidentifikasi kewujudan rasa bertuhan yang meruntun jiwa dan akal untuk bertafakur dan merenung sejauh mahunya tentang bagaimana kejadiannya sehingga melahirkan takjub, takzim yang membawanya untuk menyerahkan segala puji kepada Penciptaanya.

Orang begini, mendapat dua penghormatan; pertamanya, telah ia dapatkan nikmat yang mencurah-curah daripada Tuhannya, kerana erti syukurnya,