Klinik guaman itu tidak mempunyai pelanggan tetapi mempunyai banyak penunggu. Meskipun mereka datang awal tetapi mereka tetap jadi penunggu.
Dalam begitu ramai penunggu itu, ada seorang gadis yang masih lagi menjadi mahasiswa. Dia tidak mempunyai tempat untuk mengadu, kecuali Biro Bantuan guaman Negara (BBGN) itu. Dia berharap dengan temuduga ini ibunya dapat mempunyai seorang peguam untuk membela dirinya di hadapan hakim. Mardinah tidak mahu lagi menyesali nasib mereka. Setelah bapanya ditahan MIA, hidup mereka kian tersepit. Apalagi abangnya Zaki telah menghilang ke belantara. Kehilangan Zaki adalah rahsia keluarga. Sudah dua tahun dia tidak kembali. Tidak ada satu berita pun diterima daripadanya. Ibu benar-benar kecewa tentang itu. Memang ibu merelakan dia pergi kerana jika tidak, dia juga mungkin ditahan MIA. Kali ini satu lagi malang menimpa. Ibunya dituduh menjadi agen AJIMA. Ibunya tertangkap ketika dia menjual kuih di Keyel Baru. Ibu tidak menyangka kertas yang digunakannya untuk membungkus jualannya mengandungi amaran daripada AJIMA yang melarang orang Islam memakan daging lembu keluaran syarikat ternakan Pemerintah. Menurut AJIMA, daging lembu itu haram dimakan. Risalah itu juga meminta orang Islam memboikot semua hasil ternakan dari syarikat ternakan Pemerintah. Hasil-hasil itu tidak suci, menurut AJIMA.
Ibunya tidak tahu-menahu langsung tentang kandungan kertas itu. Seorang mubaligh berserban bertanya kepada ibunya adakah perempuan itu berminat dengan kertaskertas bekas untuk membungkus jualannya. Tanpa mencurigai apa-apa, ibunya menerima pemberiannya kerana keikhlasan hati mubaligh itu. Selama seminggu, ibu Mardianah terus menjual tanpa menyedari bahayanya. Dia hanya menyedari tentang hal itu apabila pegawai intip MIA membeli kuih daripadanya. Dia terus ditahan oleh pegawai itu. Mardinah hanya bertemu ibunya sekali sahaja di Penjara Wanita Keyel Baru. Ibunya meminta dia mencari seorang peguam. Kali kedua, Mardianah ke penjara, dia tidak dibenarkan bertemu ibunya. Dia cuma diberitahu kes ibunya akan didengar di kamar hakim lima hari lagi.
Mardianah menjadi lebih gelisah apabila jam digital di dinding menunjukkan lima belas minit lagi jam satu tengah hari. Pasti pejabat itu akan ditutup semasa rehat tengah hari. Kegelisahan itu membuat wajah bujur sirih itu lebih kerap memandang pada layar HDTV. Tiba-tiba namanya tertera pada layar, bersinar terang dan berkedip-kedip. Dia segera bangun menghampiri meja penerima dan memberi kad tungguannya.
Bilik nombor 4, kata seorang petugas wanita itu.
Terima kasih, balas Mardianah.
Pintu bilik nombor 4 diketuk. Terdengar suara dari dalam membenarkan dia masuk. Bila Mardianah masuk, dia berhadapan dengan sebuah meja kaca, sebuah kerusi yang membelakangkannya. Dia tahu ada orang di sebalik kerusi yang tinggi. Terdapat sebiji pasu perak dengan sekuntum bunga mawar hitam, cantik dan sintetik. Sungguh harmonis dengan warna putih mutiara yang memenuhi bilik itu. Hiasan dalamnya ringkas dan sederhana. Dia berdehem. Tidak ada juga respons.
Selamat tengah hari tuan, Mardianah memberanikan diri.
Tunggu dulu, kata suara dari belakang kerusi itu.
Tuan, saya datang mewakili Pn Midah, ibu saya ....
Kan saya katakan tunggu, tunggulah, kata orang itu marah.
Mardianah terdiam. Orang itu berpaling sedikit. Baru ternampak mukanya. Bila terpandang wajah jelita Mardianah, niat untuk terus melambatkan masa dibatalkan. Dia terus berpusing, menatap muka Mardianah.
Kenapa tercegat di situ. Duduklah, kata peguam berdahi lebar itu yang tiba-tiba menjadi sopan.
Terima kasih,